Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Mahkamah arah NSTP bayar Guan Eng RM300,000
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 12:06 PM
Dikemaskini: 4:58 AM

Mahkamah Tinggi Pulau Pinang hari ini mengarahkan News Straits Times Press Berhad membayar Ketua Menteri Lim Guan Eng ganti rugi sebanyak RM300,000 berhubung laporan ‘yang tidak tepat’ yang diterbitkan pada 20 Ogos 2015.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Rosilah Yop turut mengarahkan NSTP membayar RM35,000 sebagai kos dan faedah atas penghakiman sebanyak lima peratus kepada Lim.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata mahkamah berpuas hati bahawa laporan yang ditulis oleh wartawan Berita Harian Siti Sofea Md Nasir itu diputarbelitkan, tidak tepat dan berunsur fitnah.

Katanya, wartawan berkenaan tahu mengenai penghakiman persetujuan yang dicapai di mahkamah.

“Pembelaan perlindungan bersyarat tidak diguna pakai kerana ia laporan prosiding kehakiman yang tidak adil dan tidak tepat,” katanya ketika membacakan keputusannya.

Pada Mac 2016, Lim memfailkan saman terhadap NSTP, mendakwa penerbit Berita Harian itu mencetak dan menerbitkan satu artikel berhubung prosiding mahkamah yang berlangsung sehari sebelumnya, dengan tajuk 'Guan Eng tarik balik saman terhadap bekas Ketua Pemuda Umno negeri' pada 20 Ogos, 2015.

Dalam kenyataan tuntutannya, plaintif mendakwa defendan mempunyai tanggungjawab perundangan, sosial dan moral untuk berlaku bijak dan berhemah dalam melaksanakan kewartawanan yang bertanggungjawab.

Lim menuntut ganti rugi am, teruk dan teladan, kos serta relif lain yang dikira wajar oleh mahkamah.

Dalam penghakimannya, Rosilah berkata artikel yang diterbitkan Berita Harian itu mengandungi unsur fitnah terhadap plaintif.

"Plaintif berjaya atas imbangan keberangkalian terhadap defendan," katanya.

Beliau berkata ralat yang dikeluarkan oleh NSTP selepas artikel itu diterbitkan turut tidak memuaskan hati plaintif.

Peguam Simon Murali mewakili Lim manakala NSTP diwakili peguam Leong Wai Hong.

Sementara itu, Leong ketika ditemui pemberita selepas prosiding tersebut, berkata beliau sedang menunggu arahan seterusnya sama ada mahu membuat rayuan ataupun tidak.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS