Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Lim Guan Eng mempersoalkan sama ada polis cuba melindungi parti komponen BN dengan melakukan siasatan berhubung kes hasutan ke atasnya.

Ketua Menteri Pulau Pinang itu berkata dua anggota polis dari Ampang, Selangor menyoal siasatnya berhubung kenyataan - pada 23 November - menggesa Gerakan, MCA, MIC dan SUPP supaya meninggalkan BN.

Gesaan itu dibuat Lim ekoran pendirian PAS berhubung cadangan meminda Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965 yang juga dikenali sebagai Akta 355.

Ekoran itu Lim disiasat mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948.

Katanya lima laporan polis dibuat ke atasnya di Johor, Selangor dan Kuala Lumpur.

Difahamkan antara pengadu itu ialah seorang remaja berusia 13 tahun dari Ampang.

"Saya tidak ingat ada sebarang bantahan. Laporan itu nampaknya muncul tiba-tiba. Ia adalah siasatan yang remeh," katanya di sidang media di George Town, Pulau Pinang hari ini.

Lim yang juga setiausaha agung DAP berkata, memang terserah kepada polis untuk meneruskan sesuatu siasatan terhadap aduan yang diterima tetapi ia mungkin dilihat akan menguntungkan sesuatu pihak.

"Ini cabaran baru yang perlu saya hadapi," katanya.

Mengapa tidak PM

Lim juga menganggap tidak adil apabila hanya beliau disiasat apabila membuat kenyataan politik sedangkan aduan polis juga dibuat terhadap Datuk Seri Najib Razak.

"Jarang sekali pihak polis akan mengambil kenyataan (selepas menerima aduan). Kalau kena ambil kenyataan atas semua laporan yang dibuat, saya rasa saya tak perlu kerja, polis pun tak (sempat) buat kerja (lain). Tiap-tiap hari kena rakam kenyataan saja.

"Mengapa tindakan sama tidak diambil apabila laporan polis dibuat terhadap perdana menteri?" katanya.

Anggota Parlimen Bagan itu juga menafikan beliau mempertikaikan Islam dengan kenyataan mengenai cadangan meminda peruntukan Akta 355 itu.

Sebaliknya kata Lim beliau hanya merujuk peruntukan yang dicadangkan itu dengan perlembagaan negara.

Dengan tindakan polis ke atasnya, menurut Lim, ia memberi gambaran seolah-olah pihak berkuasa itu cuba "menyelamatkan" parti komponen BN.

Pada masa sama, kata Lim, ada parti komponen BN juga menggesa DAP menarik diri daripada Pakatan Harapan atas pelbagai sebab.

"Kalau begitu, mengapa mereka juga tidak disiasat. Jika menggesa MCA, MIC, Gerakan dan SUPP keluar BN disiasat, (kenyataan) MCA (kepada DAP) juga perlu disiasat, barulah adil," katanya.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS