Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Hantar gambar kemaluan, lelaki dipenjara sebulan
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 4:55 PM
Dikemaskini: 8:57 AM

Gara-gara menghantar gambar kemaluan dan ayat berunsur lucah kepada isteri orang, seorang lelaki dipenjara sebulan dan denda RM1,500 oleh Mahkamah Majistret di Kuala Lumpur hari ini.

Majistret Nur A'minahtul Mardiah Md Nor menjatuhkan hukuman itu ke atas seorang penganggur, Abdul Rahim Mohd Abas, 34, selepas dia mengaku bersalah menghantar gambar dan ayat berunsur lucah kepada wanita berusia 31 tahun itu melalui telefon bimbit miliknya.

Dia melakukan kesalahan itu di Nombor 17-3, Putri Apartment, Taman Setiawangsa, Off Jalan Jelatek, Wangsa Maju pada 7 Januari lepas, mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum lima tahun atau dengan denda atau kedua-duanya sekali.

Mahkamah juga memerintahkan tertuduh dipenjara bermula tarikh tangkap pada 9 Januari lepas dan akan dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Terdahulu, Nur A'minahtul Mardiah menegur Abdul Rahim yang kelihatan teragak-agak dan ragu-ragu ketika ditanya mengenai latar belakangnya semasa rayuan bagi meringankan hukuman.

"Tunjuk kemaluan pandai, jawab soalan tak pandai," katanya.

Berdasarkan fakta kes, mangsa menerima gambar kemaluan seorang lelaki melalui telefon bimbit daripada nombor yang tidak dikenali dan memaklumkan kepada suaminya.

Suami mangsa kemudian meminta tertuduh untuk berjumpa di LRT Setiawangsa sebelum menangkap dan menghantarnya ke balai polis.

Timbalan Pendakwa Raya Nur Farah Adilah Noordin memohon hukuman setimpal dengan alasan perbuatan tertuduh telah menjejaskan ketenteraman awam dan menyebabkan trauma kepada mangsa.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS