Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
Pemimpin Gerakan mohon maaf isu sekolah agama
Diterbitkan:  Jan 13, 2017 6:25 PM
Dikemaskini: 10:57 AM

Dominic Lau Hoe Chai menarik balik dan memohon maaf terhadap kenyataannya bahawa sekolah agama yang dibiayai kerajaan mengancam perpaduan negara.

Naib presiden Gerakan itu berkata, beliau tidak ada niat untuk menyerang sekolah agama.

“Demi keamanan dan kestabilan, saya menarik balik kenyataan saya dan meminta maaf jika ada kesalahan dan berharap tidak ada lagi isu mengenai perkara ini.

“Kebimbangan utama sebenar saya, yang ingin saya sampaikan pada sidang media itu, meminta kerajaan mempertingkatkan langkah membendung penyusupan dakyah ekstremis dan pengaruh asing dalam sekolah agama,” kata Dominic dalam kenyataannya.

Dominic berkata, kebimbangannya itu berasaskan kenyataan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi pada Julai tahun lalu.

Zahid ketika itu dilaporkan berkata, pihak berkuasa dan Kementerian Dalam Negeri akan memantau semua institusi agama bagi memastikan tiada aktiviti pengganas IS diserap masuk.

Semalam, Free Malaysia Today melaporkan Dominic sebagai menggesa kerajaan mengkaji semula dasar-dasar sekolah agama yang dibiayai kerajaan.

“Dari analisa kami, didapati bahawa walaupun tidak semua pelajar mempunyai pandangan ekstremis, namun kecenderungan pemikiran ini masih ada," kata Dominic sebelum ini.

Dominic tidak menyeru kepada pemansuhan sekolah agama namun berharap Malaysia kembali kepada visi sebagai sebuah negara sekular dan tidak mencampuradukkan politik dan agama.

Beliau dilaporkan mendakwa ia menjadi ancaman sebenar perpaduan di negara ini dan bukannya sekolah vernakular.

Ekoran kenyataan berkenan, banyak pihak, termasuk pemimpin-pemimpin politik dan NGO menyelar kenyataan itu.

Kumpulan pendesak Melayu PERKASA hari ini membuat laporan polis terhadap Dominic yang didakwa menghasut.

Lihat Komen
ADS