Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
'Jika dituduh penderhaka, biarlah'
Diterbitkan:  Jan 17, 2017 3:17 PM
Dikemaskini: 11:10 AM

Selepas ditegur Sultan Johor sebagai melampaui batas, bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad menulis surat menjawab kenyataan itu.

Melalui surat yang disiarkan hari ini Dr Mahathir berkata beliau tidak pasti sama ada kenyataan dibuat Sultan Ibrahim Sultan Iskandar semalam benar-benar mencabarnya atau ia sekadar tafsiran akhbar.

“Namun, kecuali DYMM menafikan baginda mencabar saya, saya menganggap laporan The Star itu adalah benar," katanya sambil mengingatkan keadaan tidak berpihak kepadanya.

"Ketika orang lain boleh bercakap apa yang mereka mahu mengenai saya, dan saya mengalu-alukan kebebasan mereka bercakap begitu, saya berharap dalam maklum balas kepada cabaran DYMM, saya tidak ditangkap dan dipenjarakan tanpa bicara.

"Jika ia dibuat dengan perbicaraan, saya mengalu-alukan penahanan tangkapan," katanya.

Dalam temu bual eksklusif dengan akhbar The Star, Sultan Ibrahim mencabar pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) itu menunjukkan kepada Johor pelabur dari Arab, Australia atau AS "daripada mengecam China".

Sultan Johor juga bertitah, baginda "amat tersinggung dan disakiti" oleh beberapa ulasan dibuat Dr Mahathir sejak beberapa minggu lalu.

"Cukuplah cukup. Selama ini ini beta telah mengelak untuk mengulas mengenai kontroversi mengenai City Forest yang diperkatakan oleh Dr Mahathir dan para penyokongnya," titah baginda.

Dr Mahathir yang pernah menjadi perdana menteri selama 22 tahun berkata kenyataan beliau mengenai Forest City di Johor Bahru - yang menimbulkan kemurkaan Sultan Ibrahim - tidak lebih daripada sekadar mengulangi laporan Bloomberg berkaitan projek pembangunan di negeri itu.

"Apa yang dikatakan Bloomberg dalam laporannya pada 22 November tahun lalu?

“Ia mengatakan, sebuah syarikat China akan membina Forest City in Johor Bahru yang akan menempatkan 700,000 orang. Laporan itu kemudian menyatakan ramai orang China diterbangkang (ke Johor) untuk melihat model dan mereka sudah dan akan membeli kebanyakan harta tanah di Forest City.

"Saya tidak yakin ramai Melayu dan Cina Johor membeli atau akan membeli apartmen-aparten itu. Tidak ramai orang Malaysia akan membeli harta tanah ini.

"Bloomberg, dalam laporan sama, menyebut 60 lagi pembangunan seperti Forest City, dan ini juga sedang dijual kepada orang China.

"Lihat kembali ke tahun 1819, apabila Sultan Ali tidak memajak Singapura kepada British, (tetapi) Temenggong menandatangani pemajakan itu. Dan lihat Singapura hari ini. Sebahagian daripada Johor kini negara asing - begitu maju, memang, tetapi sebuah negara asing," katanya.

Dapatkan kemahiran, bukan jual tanah

Beliau juga menyatakan akan ada lebih sejuta orang asing tinggal di Forest City dan 60 projek pembangunan lain di Johor.

Walaupun kawasan petempatan baru itu tidak akan menjadi negara asing, Dr Mahathir mengingatkan, akan wujud peratusan rakyat luar yang tidak seimbang nanti.

"Jika mereka tinggal lebih lama, mereka layak menjadi warga Malaysia," katanya.

Dr Mahathir menegaskan, walaupun beliau pernah mempromosi pelaburang langsung asing (FDI) di negara ini suatu ketika dulu, ia tidak membabitkan penjualan tanah, membangunkannya dan menjual harta itu kepada warga luar.

“FDI ialah mengenai pelaburan dalam industri pembuatan. Syarikat Malaysia membina bangunan dan rakyat Malaysia bekerja dalam industri itu. Mereka akan memperoleh kemahiran dan memulakan perniagaan pembuatan.

"Kontraktor Malaysia benar-benar mampu membina semua jenis bangunan dan memajukan tanah. Kita tidak perlukan orang asing untuk melakukannya.

"Lihat Malaysia hari ini. Sembilan puluh peratus atau lebih bangunan dan pembangunan baru dilakukan syarikat Malaysia. Majoriti pembeli adalah orang Malaysia dan mereka adalah orang yang akan kekal di sini.

"Tetapi apabila orang asing membeli tanah, tidak ada kemasukan modal pun. Kebanyakan modal dipinjam secara tempatan dan mereka boleh menjalankan urusan dengan bank mereka sendiri," katanya.

Apa saja yang diperoleh syarikat asing itu, tambah Dr Mahathir, akan dihantar ke negara asal mereka. Ia, katanya, menyebabkan pengaliran keluar modal dari negara ini.

"Apabila skim diperkenalkan, anda boleh membeli harta tanah di China dan mendapat satu flat atau rumah percuma di Malaysia, tiada keuntungan dibuat di Malaysia. Justeru tiada cukai dibayar kepada kerajaan Malaysia," katanya.

Kebenaran dibisik, tidak dilaungkan

Surat itu juga menggesa supaya semua transaksi dijalankan secara telus.

"Siarkan semua dokumen pelaburan, jumlah pekerja, negara asal mereka. pembeli, bank yang memberi pembiayaan serta semua dana asing. Lakukan dengan jujur. Usah berselindung.

"Biarkan Transparency International memeriksa dokumen rasmi yang didedahkan. Biar rakyat melihat dokumeen itu untuk membuktikan keasliannya," kata beliau lagi.

Mengenai polisi yang pernah digunakan untuk menyanggah kenyataannya sebelum ini, Dr Mahathir berkata, Dasar Pandang Ke Timur diamalkan bukan dengan tujuan meminta negara terbabit membeli tanah di Malaysia, membangunkannya dan menjual kepada orang asing.

"Ya, kita menggalakkan orang luar menjadikan Malaysia rumah kedua mereka. Tetapi jumlahnya sangat kecil. Pandang Ke Timur bukan mengenai perpindahan ratusan ribu orang. Ia mengenai Malaysia belajar bagaimana negara timur membangunkan diri mereka," katanya.

Mengenai tuduhan rasis, Dr Mahathir berkata, memang mudah menuduhnya begitu dan pada masa sama, beliau juga pernah dilabel sebagai pelampau Melayu.

"Memburuk-burukkan dan melabel ini mendedahkan betapa tiada hujah kukuh untuk menyanggah apa yang saya buat atau kata. Ia menggambarkan tiada asas untuk berhujah dengan saya.

"Ini negara berbilang kaum. Rakyat dengan pelbagai etnik, bahasa, agama, budaya, malah ekonomi boleh hidup dengan aman damai.

"Di banyak negara, sedikit perbezaan tafsiran mengenai agama menyebabkan keganasan dan perang. Namun secara relatif, Malaysia adalah stabil dan aman.

"Ia stabil dan aman sebab kita menerima satu sama lain seadanya. Sepanjang 22 tahun saya menjadi perdana menteri, tiada perbalahan kaum yang besar. Berbeza, memang ada, tetapi tiada keganasan. Dan negara membangun.

"Jika saya rasis, tempoh saya menjadi perdana menteri akan menyaksikan kekecohan di negara ini," katanya.

Melalui surat itu juga Dr Mahathir mencabar The Star menyiarkannya tanpa sebarang suntingan.

"Saya akan terima (jika) tulisan ini dipadamkan langsung kerana kita hidup dalam negara kleptokrasi di mana kebenaran dikutuk, ia hanya dibisikkan tetapi tidak pernah dilaungkan.

"Saya warga Malaysia yang dilahirkan di Kedah. Malaysia adalah rumah saya dan tempat saya menumpahkan taat setia. Jika saya dituduh menderhaka atas apa yang saya katakan, biarlah," katanya.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS