Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
K'jaan kaji naikkan caj VEP - Liow
Diterbitkan:  Jan 18, 2017 6:28 AM
Dikemaskini: 10:31 PM

Kerajaan akan mengkaji untuk menaikkan caj Permit Masuk Kenderaan (VEP) dengan nilai sama yang dikenakan Singapura, kata Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai.

Beliau berkata perkara itu akan dibincang dengan pelbagai pihak.

"Kita akan mengkaji dari masa ke masa sama ada terdapat keperluan untuk meningkatkan nilai caj VEP," katanya kepada pemberitadi ibunegara semalam selepas melancarkan kempen keselamatan jalan raya dan Op Bersepadu peringkat kebangsaan dari 21 Januari hingga 5 Februari, sempena Tahun Baharu Cina 2017.

Menurutnya, Singapura mengenakan antara lain caj VEP S$35 (RM109) sehari tidak termasuk caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC-Reciprocal Road Charge) S$6.40 (RM20) mulai 15 Februari ini kepada kenderaan asing yang memasuki republik itu.

VEP yang diperkenalkan Malaysia hanya memerlukan pemilik kenderaan asing membayar yuran pendaftaran RM10 dan boleh diperbaharui selepas lima tahun, katanya.

Malaysia mengenakan caj jalan raya RM20 bagi setiap kenderaan asing yang memasuki Johor sejak 1 November 2016.

Media melaporkan semua kereta yang berdaftar di luar negara perlu membayar RRC sebanyak S$6.40 setiap kali memasuki Singapura melalui Pusat Pemeriksaan Tuas atau Woodlands mulai 15 Februari ini.

Dalam pada itu, Liow berkata cadangan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur untuk melarang motosikal berkuasa rendah atau kapcai memasuki ibu kota perlu dikaji terlebih dahulu.

"Cadangan berkenaan harus dikaji dahulu kerana motosikal tidak perlu menjalani pemeriksaan pelepasan karbon dari ekzos... setakat ini Puspakom hanya melakukan pemeriksaan itu kepada kenderaan komersial dan persendirian sahaja," katanya.

Mengenai Op Bersepadu, beliau berkata ia akan memberi tumpuan penguatkuasaan undang-undang melalui konsep ronda dan statik di kira-kira 100 kawasan kerap berlaku kemalangan (black spot).

Selain itu, larangan ke atas kenderaan membawa muatan tertentu akan dijalankan pada 26 dan 27 Januari serta 31 Januari dan 1 Februari ini.

Liow seterusnya berkata nilai kerugian akibat kemalangan jalan raya mencecah RM8.4 bilion tahun lepas.

"Kadar kemalangan di jalan raya turut membimbangkan apabila jumlah kematian turut meningkat kepada 7,152 kematian pada 2016 berbanding 6,706 pada 2015," katanya.

Menurutnya, 62.7 peratus daripada kematian melibatkan pengguna motosikal.

- Bernama

Lihat Komen
ADS