Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Saksi beritahu tertuduh pertama tiada ketika mayat Kevin disembunyi

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur diberitahu bahawa pakar patalogi Kolonel Dr R. Kunaseegaran, iaitu tertuduh pertama dalam kes pembunuhan Timbalan Pendakwa Raya Datuk Anthony Kevin Morais, tidak ada bersama ketika bekas tertuduh kedua menyembunyikan mayat dan menghapuskan kereta Kevin Morais pada 4 sehingga 5 Sept 2015.

G.Gunasekaran, 49, bekas tertuduh kedua dalam kes pembunuhan itu mengesahkan demikian ketika pemeriksaan balas peguam Datuk N.Sivananthan yang mewakili Dr Kunaseegaran.

Sivananthan: Dalam kes ini kamu telah mengaku salah dalam "disposal" (menyembunyikan mayat dan menghapuskan kereta Kevin Morais). Kamu memang telah membantu menyembunyikan dan menghapuskan.

Gunasekaran: Ya.

Sivananthan: Dan kesemua masa kamu terlibat menyembunyi dan menghapuskan, kamu dapat sahkan Dr Kunaseegaran tidak ada di situ?

Gunasekaran: Ya.

Gunasekaran yang merupakan seorang penganggur berkata demikian dalam prosiding perbicaraan hari ke-39 kes pembunuhan itu, hari ini.

Lelaki itu dipanggil menjadi saksi pendakwaan ke-54 selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah atas pertuduhan menyembunyikan mayat dan menghapuskan kenderaan Kevin Morais.

Dia dijatuhi hukuman penjara dua tahun berkuatkuasa dari tarikh ditangkap pada 15 Sept 2015 oleh Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 20 Dis 2016 dan telah dibebaskan pada 15 Jan lalu setelah selesai menjalani hukuman itu. Kepada soalan Sivananthan bilakah saksi itu diberikan fakta kes untuk dibaca sebelum mengaku bersalah bagi pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 201 Kanun Keseksaan, Gunasekaran berkata beberapa bulan sebelum dia mengaku bersalah.

Saksi itu turut bersetuju dengan cadangan Sivananthan bahawa dia menerima pertuduhan pilihan itu kerana mahu dikeluarkan daripada pertuduhan serius (iaitu pertuduhan asal) di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Gunasekaran menjelaskan dia juga telah lama berniat untuk mengaku salah atas pertuduhan di bawah Seksyen 201 itu, sejak dia diwakili peguam asalnya, V. Rajehgopal.

"Saya yang minta dari awal lagi untuk dapatkan pertuduhan pilihan itu. Saya telah meminta pada peguam V.Rajehgopal dan sekarang minta peguam S. Ramesh (peguam baharu yang mewakilinya menggantikan Rajehgopal)," katanya.

Lima lelaki - R. Dinishwaran, 25; A.K. Thinesh Kumar, 24; M. Vishwanath, 27; S. Nimalan, 24; dan S. Ravi Chandaran, 46, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan membunuh Kevin Morais antara 7 pagi dan 8 malam, 4 Sept 2015, antara Jalan Dutamas Raya Sentul dan No.1 Jalan USJ1/6D, Subang Jaya.

Dr Kunaseegaran, 54, yang merupakan tertuduh pertama, mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan bersubahat dengan enam lelaki itu dalam pembunuhan Kevin Morais di tempat, tarikh dan masa sama.

Perbicaraan di hadapan Hakim Datuk Azman Abdullah disambung pada 20 Januari ini. -Bernama

Lihat Komen
ADS