Paling Popular
Terkini

Presiden Amerika Syarikat Barack Obama mengimbau lapan tahun tempoh pentadbirannya dan menyuarakan rasa optimistik beliau dengan masa depan Amerika, serta menutup ucapan terakhirnya kepada media dengan berkata, "pada asasnya, saya rasa kita akan okay."

Dalam sidang media terakhir sebelum Donald Trump dirasmikan sebagai presiden esok, Obama mempertahankan keputusannya baru-baru ini untuk meringankan hukuman terhadap pemberi maklumat, Chelsea Manning, melahirkan kebimbangan mengenai nasib proses damai Israel-Palestin dan menyatakan dengan tegas mengenai kebebasan media dalam sistem demokrasi.

Trump telah berikrar untuk mengubah banyak legasi Obama, termasuk mencadangkan perubahan halatuju dalam isu-isu imigresen hingga kepada dasar luar negara itu.

Obama mengakui bahawa beliau sudah menjangkakan presiden Republikan itu akan berusaha untuk menukar banyak daripada dasar Amerika selepas pilihan raya presiden menyaksikan penolakan banyak agenda parti Demokrat.

Bagaimanapun katanya, Trump tidak akan tahu betapa besarnya tugas seorang presiden "sehinggalah beliau duduk di meja itu" dan menggalakkan Trump mendengar nasihat para penasihatnya.

"Ini adalah satu tugas yang begitu besar di mana anda tidak boleh melakukannya sendirian," kata Obama. "Anda akan banyak bergantung kepada pasukan -. kabinet anda, kakitangan kanan White House".

Obama, yang semasa kempen berkata Trump tidak layak untuk memegang jawatan yang tinggi itu, tidak lagi mengkritiknya sejak pilihan raya presiden.

Namun kata Obama, beliau akan bercakap sekiranya Trump melanggar garis diskriminasi sistematik, hak mengundi, mendiamkan akhbar atau mengusir pendatang yang dibawa ke negara ini ketika kanak-kanak.

Trump telah mengambil garis konfrontasi terhadap akhbar, kerap menyasarkan media tertentu dan membayangkan beliau mungkin membuat perubahan terhadap bagaimana White House berinteraksi dengan media.

Obama memulakan ucapan dengan mempertahan akhbar, mengucapkan terima kasih kepada para pemberita yang membuat pentadbirannya bertanggungjawab dan sikap yang kritikal dalam memantau pihak berkuasa.

"Harapan saya anda akan teruskan ketabahan yang sama yang anda perlihatkan kepada kami, untuk berkerja keras bagi mendapatkan maklumat terperinci dan memastikan ianya betul dan mendesak kami yang berkuasa untuk menjadi versi kami yang terbaik dan mendorong negara ini menjadi yang terbaik, "kata Obama kepada para wartawan.

Mengenai Rusia, di mana agensi perisikannya berkata mahu campur tangan dalam pilihan raya presiden Amerika, Obama menggesa Amerika Syarikat untuk terus mempertahankan hak-hak asasi manusia dan prinsip bahawa negara-negara besar tidak membuli negara yang lebih kecil, sambil menegaskan tentang sekatan antarabangsa yang dikenakan ke atas Rusia kerana menceroboh Ukraine.

"Amerika Syarikat sentiasa berada ada di pihak yang betul dalam isu-isu ini dan adalah penting untuk kita terus berada di pihak yang betul dalam isu-isu ini," kata Obama.

"Jika kita, sebagai sebuah negara demokrasi yang terbesar dan terkuat di dunia, tidak sanggup untuk mempertahankan nilai-nilai ini, maka pastinya China, Rusia dan lain-lain tidak boleh diharap untuk berbuat demikian."

Mengenai Timur Tengah, Obama berkata anjakan dalam dasar Amerika apabila gagal menyekat resolusi PBB baru-baru ini mengutuk aktiviti penempatan Israel, telah menghantar isyarat  bahawa situasi di sana membuat penyelesaian dua negara menjadi semakin mustahil .

"Adalah penting bagi Amerika Syarikat untuk menghantar isyarat, bahawa saat ini mungkin telah lalu," katanya, sambil menegaskan bahawa ia tidak jelas bagaimana pendekatan yang akan datang.

Obama mengakhiri pentadbirannya dengan ranking 57 peratus, demikian menurut data Sunday dari badan peninjau pendapat awam, Gallup.

Ranking Trump yang akan mengangkat sumpah esok ialah 40 peratus - kira-kira separuh daripada sokongan awam kepada Obama (78 peratus) sebelum mengangkat sumpah pada 2009, tambahnya.

Obama tidak mahu mengulas mengenai rancangan puluhan rakannya dari parti Demokrat untuk memulau majlis angkat sumpah Tump esok, tetapi menyatakan beliau dan Michelle Obama akan hadir. [Baca berita penuh]

- dpa

 

Lihat Komen
ADS