Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Ku Nan: Doktor, pengusaha taska antara penyebar ajaran sesat
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 3:15 PM
Dikemaskini: 7:23 AM

Golongan profesional seperti doktor dan pengusaha taska persendirian antara yang dikesan terlibat menyebarkan ajaran sesat seperti ajaran Millah Abraham di kawasan Putrajaya, kata Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor.

Anggota Parlimen Putrajaya itu berkata beliau "turun" sendiri ke kawasan yang disyaki menjadi tumpuan penyebaran ajaran sesat itu dan surau-surau selain dimaklumkan penduduk mengenai kegiatan tersebut.

Menurutnya, golongan doktor yang membuka klinik di kawasan itu dikesan mengambil kesempatan menyebarkan ajaran yang bertentangan ajaran Islam sebenar kepada pesakit yang dibantu kerana masalah kewangan.

"Pengusaha taska atau pusat asuhan kanak-kanak yang dipercayai datang dari Bangi, Pinggiran Putra serta Sepang ini mengenakan bayaran yang agak murah bagi menarik perhatian ibu bapa dan akhirnya menggunakan peluang itu untuk menyebarkan dakyah atau fahaman masing-masing," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan sumbangan sebanyak RM48,000 untuk Program Tahsin Iqra dan Hafazan kepada 25 sekolah di Putrajaya di Masjid Tuanku Mizan di Putrajaya hari ini.

Tengku Adnan berkata penularan ajaran sesat dipandang serius oleh pihaknya melalui pemantauan berterusan selain memperkasakan program keagamaan melalui ceramah dan syarahan agama oleh tokoh ternama dari luar yang diadakan setiap minggu di surau dan masjid.

Beliau turut meminta majlis perwakilan penduduk, Rukun Tetangga, masyarakat serta anggota Umno untuk sama-sama memantau dan membendung penularan ajaran sesat kerana dibimbangi boleh mempengaruhi penduduk Putrajaya yang 98 peratus daripadanya beragama Islam.

Kumpulan Millah Abraham diisytihar sebagai ajaran sesat pada 2009 kerana didapati menyeleweng daripada akidah Islam dan pengikutnya dianggarkan sudah menjangkau 5,000 orang di seluruh negara dengan menyasarkan golongan muda yang kurang mendapat didikan Islam.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS