Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
RRC akan dikuat kuasa di sempadan Thai Jun ini - Liow
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 3:24 PM
Dikemaskini: 7:38 AM

Malaysia akan mengenakan Caj Jalan Raya Timbal Balas (RRC) terhadap kenderaan bernombor pendaftaran asing yang memasuki negara ini melalui sempadan Thailand menjelang Jun ini.

Menteri Pengangkutan Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata ini menegaskan bahawa kerajaan tidak berdiskriminasi dalam menguatkuasakan RRC.

"Saya menyambut baik keputusan Singapura (untuk tidak mengenakan RRC jika Malaysia memperkenalkan caj itu di sempadan Thailand). Seperti yang saya katakan sebelum ini, kami tidak mengamalkan diskriminasi terhadap kenderaan Singapura.

"Kami menguatkuasakan caj ini di semua sempadan kami. Sehubungan itu, kami akan memperkenalkannya di sempadan Thai," katanya kepada pemberita di ibunegara hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas keputusan terbaru Singapura bahawa republik itu bersedia menarik balik RRC sebanyak $6.40 terhadap kenderaan Malaysia yang memasuki Singapura sekiranya Malaysia turut mengenakan caj serupa di sempadannya yang lain.

Awal bulan ini, Singapura mengumumkan republik itu akan menguatkuasakan RRC bermula 15 Februari sebagai respons kepada RRC yang diperkenalkan Malaysia pada 1 November 2016.

Mengenai seminar dua hala Malaysia-Perancis berkenaan rel berkelajuan tinggi (HSR), Liow berkata program itu menyediakan platform penting untuk Malaysia mempelajari tentang HSR daripada Perancis.

"Kami mengalu-alukan minat Perancis terhadap HSR terutama tentang tender terbuka kerana Perancis memiliki banyak teknologi yang boleh mereka tawarkan kepada kita.

"Jadi, saya fikir memang bagus untuk kita meneliti alternatif dari pelbagai negara,' katanya.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS