Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Polis: Radang usus punca kematian tahanan dalam lokap
Diterbitkan:  Jan 19, 2017 7:13 PM
Dikemaskini: 11:16 AM

Laporan bedah siasat mengesahkan kematian seorang tahanan lokap Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bera semalam, akibat penyakit radang usus, kata Ketua Polis Daerah Bera DSP Mansor Samsudin.

Beliau berkata bedah siasat terhadap mayat Soh Kai Chiok, 49, dilakukan di Hospital Sultan Haji Ahmad Shah di Temerloh.

"Pihak polis sedang menjalankan siasatan lanjut ke atas kematiannya dan mencari rekod kesihatannya selain mendapatkan maklumat daripada waris terdekat," katanya semasa dihubungi Bernama di Kuantan hari ini.

Katanya Soh yang ditemukan tidak sedarkan diri pada jam 12.15 tengah malam di lokap itu juga tidak memaklumkan dia menghidap penyakit itu termasuk semasa menerima rawatan di Klinik Kesihatan Triang.

Beliau berkata suspek yang mempunyai lima rekod jenayah lampau berkaitan dadah telah dibawa ke klinik kesihatan itu kerana cedera di tangan kiri, kaki kiri dan muka semasa diserahkan ke IPD Bera oleh pemilik kebun pisang yang menahannya.

"Sepanjang ditahan, polis mematuhi prosedur termasuk memberi makan, rawatan dan ubat serta mengikut waktu tidur yang ditetapkan. Pemantauan kamera litar tertutup (CCTV) juga mengesahkan dia tidak didera, dipukul atau dicederakan," katanya.

- Bernama

Lihat Komen
ADS