Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini

Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan menghantar delegasi peringkat tinggi untuk menangani konflik yang melibatkan etnik Rohingya di Myanmar.

Kumpulan pegawai tersebut akan bertemu dengan dengan pegawai Myanmar dan umat Islam di sana yang sedang menjadi pelarian akibat keganasan di Rakhine.

"Dalam hal ini, mesyuarat memohon kerjasama dengan kerajaan Myanmar untuk menerima lawatan tersebut," kata kenyataan itu.

Perkara tersebut diputuskan selepas mesyuarat tergempar Majlis Menteri-Menteri Luar OIC mengenai situasi minoriti Muslim Rohingya di KLCC, Kuala Lumpur hari ini.

Mesyuarat itu turut membincangkan mengenai nasib Rohingya di Rakhine.

Sementara itu, Menteri Luar, Datuk Seri Anifah Aman berkata pasukan tersebut membuka peluang untuk menilai keadaan di Rakhine kerana kerajaan Myanmar telah menafikan dakwaan bahawa terdapat "pembunuhan beramai-ramai" di sana.

Sebelum ini Malaysia telah menyatakan kebimbangan mereka mengenai keadaan Rohingya dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak turut turun berhimpun di Stadium Mini Tasik Titiwangsa bagi menyatakan bantahan ke atas Myanmar.

Sementara itu, dalam mesyuarat OIC hari ini turut menjemput negara-negara anggota untuk berkongsi kos bagi menyediakan tempat perlindungan sementara kepada pelarian Rohingya.

"Mesyuarat menjemput negara-negara anggota OIC untuk terus berkongsi kos yang besar yang ditanggung oleh negara-negara yang telah menyediakan tempat perlindungan sementara dan perlindungan kepada pelarian Rohingya.

“(Ia) selaras dengan prinsip-prinsip perkongsian beban dan berkongsi tanggungjawab, dalam semangat perpaduan Islam.

"Apa yang kami mahu perkara ini diterima dengan baik oleh negara-negara anggota," katanya.

Lihat Komen
ADS