Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Tak munasabah gesa pembangkang tak tanding di Tanjong Datu'
Diterbitkan:  Jan 20, 2017 10:01 AM
Dikemaskini: 3:37 AM

Gesaan PBB supaya pembangkang tidak bertanding dalam pilihan raya kecil (PRK) Tanjong Datu telah disifatkan sebagai "tidak munasabah, tidak matang dan jahil".

Abdul Aziz Isa, pembantu khas kepada pengerusi DAP Sarawak Chong Chieng Jen, berkata demikian ketika mengulas kenyataan Setiausaha Agung PBB, Stephen Rundi Utom semalam, yang menggesa pembangkang untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil itu.

Kerusi Tanjong Datu kosong selepas penyandangnya, Ketua Menteri Sarawak, Allahyarham Tan Sri Adenan Satem meninggal dunia awal bulan ini.

"Sebagai seorang ahli politik, Stephen Rundi perlu tahu bahawa Malaysia adalah sebuah negara demokrasi, bukan negara komunis seperti China, Cuba dan Korea Utara.

"Ini bukan soal menghormati Allahyarham Adenan.

"Ia adalah mengenai memilih orang yang mampu yang boleh diamanahkan dengan tanggungjawab oleh para pengundi," kata Abdul Aziz dalam satu kenyataan hari ini.

Terdapat perbezaan antara rasa hormat dan tanggungjawab, kata Abdul Aziz, sambil menambah bahawa pembangkang mempunyai hak dan budibicara untuk bertanding di mana-mana kerusi DUN yang kosong.

"Ya, rakyat Sarawak sayangkan Allahyarham Tan Sri Adenan, tetapi itu tidak semestinya bermakna bahawa mereka sayang BN," kata Abdul Aziz.

Pakatan Harapan diperlukan untuk membawa perubahan kepada negara secara keseluruhannya, kata beliau, kerana rakyat dibelenggu oleh situasi ekonomi, salah guna kuasa, kenaikan kos sara hidup, dan pergolakan sosial.

Beliau berkata, bertanding dalam pilihan raya kecil Tanjong Datu, akan menambah tekanan kepada kerajaan yang memerintah untuk memenuhi janji-janji yang dibuat pada pilihan raya negeri lepas.

Pilihan raya kecil Tanjong Datu seharusnya dianggap sebagai satu ujian untuk BN, bagi mengukur sokongan rakyat terhadap kepimpinan mereka, kata Abdul Aziz.

"Jika mereka sangat yakin untuk memenangi pilihan raya kecil itu, maka mereka harus berani untuk berdepan dengan pengundi.

"Pengundi perlu diberi pilihan untuk memilih wakil rakyat mereka yang seterusnya," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya telah mengumumkan bahawa PRK Tanjong Datu akan diadakan pada 18 Februari.

Pada April tahun lepas, populariti Adenan telah memberi kemenangan besar kepda BN alam pilihan raya negeri Sarawak.

[Baca berita penuh]
 

Lihat Komen
ADS