Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita
Rosmah 'berhujan' jumpa mangsa banjir
Diterbitkan:  Jan 21, 2017 11:18 AM
Dikemaskini: 3:35 AM

Hujan lebat tidak menghalang Datin Seri Rosmah Mansor daripada bertemu dengan kira-kira 800 keluarga mangsa banjir di Tumpat, Kelantan.

Malah, dalam keadaan sesak dan hujan lebat, isteri perdana menteri itu tetap mesra melayani rakyat dalam sesi bertanya khabar mangsa banjir di Kampung Simpangan, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Telok Jering semalam.

Perkara itu diceritakan oleh pembantu Rosmah, Datuk Rizal Mansor dalam laman Facebooknya yang turut memuatnaik beberapa keping gambar Rosmah bersalaman dan beramah mesra dengan orang ramai.

"Kegembiraan jelas terpancar di wajah ribuan rakyat yang hadir menyatakan syukur kerana kesudian Datin Seri (Rosmah) menjejakkan kaki ke situ demi keprihatinan beliau terhadap rakyat," tulis Rizal.

Selain itu, ketika dihubungi Rizal turut berkongsi detik-detik ketika Rosmah yang juga Yang Dipertua Badan Amal dan Kebajikan Tenaga Isteri-isteri Menteri dan Timbalan Menteri (BAKTI) meredah hujan.

Menurut Rizal, Rosmah yang berbaju kurung berwarna biru gelap berserta selendang - yang merupakan baju rasmi BAKTI - dilihat meredahi hujan menuju ke keretanya selepas selesai menyerahkan sumbangan berupa makanan dan wang tunai kepada mangsa banjir.

Rizal turut menceritakan, ekoran hujan lebat baju yang dipakai Rosmah basah dan pada hari itu beliau kurang sihat.

Namun, katanya, ia tetap tidak menghalangnya untuk menemani Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak ke Sabah pada hari ini.

"Kena hujan lebat dan baju basah. Hari ini Datin Seri kurang sihat tapi dia akan ke Sabah untuk teman PM," kata Rizal kepada Malaysiakini.

Serah sumbangan

Sementara itu Bernama melaporkan di majlis itu, BAKTI menyerahkan sumbangan kepada 800 keluarga mangsa banjir dari Kampung Simpangan, Kampung Bendang Pak Yong dan Kampung Telok Jering di Tumpat semalam.

Sumbangan berupa bekalan makanan dan wang tunai itu disampaikan Rosmah selaku Yang Dipertua BAKTI.

Turut hadir Setiausaha Bakti Datin Seri Khamarzan Ahmad Meah, pemangku Ketua UMNO Bahagian Tumpat Datuk Mohd Rosdi Ab Aziz, Anggota Dewan Undangan Negeri Pengkalan Kubor Mat Razi Mat Ail dan Pengarah Jabatan Pembangunan Persekutuan Kelantan Datuk Makhtar Mustapha.

Rosmah turut meluangkan masa beramah-mesra dengan mangsa bencana banjir itu yang berlaku awal bulan ini.

Sementara itu, Mohd Rosdi dalam ucapannya berkata penduduk di mukim Bendang Pak Yong yang sering terjejas dengan bencana banjir 'termenung' (air bertakung) amat bertuah kerana telah dua kali dikunjungi Rosmah.

Beliau berkata kali pertama isteri Perdana Menteri melawat kawasan itu ialah pada 2014 selepas Kelantan dilanda banjir besar.

"Kita terlalu dekat di hati Datin Seri Rosmah. Sejak merdeka hingga kini, belum ada mana-mana isteri Perdana Menteri yang menjejakkan kaki ke mukim Bendang Pak Yong.

"Kita teruja dan rasa amat dihormati oleh Datin Seri Rosmah yang sanggup mengorbankan masa untuk datang bertanya khabar dan memberi sumbangan kepada mangsa banjir di sini," katanya.

Sementara itu, seorang penerima bantuan Salma Mustapa, 51, dari Kampung Simpangan berkata beliau amat teruja dapat bertemu dengan Rosmah.

"Ini kali pertama saya dapat bertemu dan bersalam dengan Datin Seri. Saya rasa bertuah kerana Datin Seri juga menyerahkan sendiri sumbangan makanan dan wang tunai kepada saya," katanya.

Lihat Komen
ADS