Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Salahuddin: Blok ketiga itu alat BN
Diterbitkan:  Jan 23, 2017 9:40 AM
Dikemaskini: 1:42 AM

Parti Amanah Negara (AMANAH) berpendapat gabungan beberapa parti yang membentuk "blok ketiga" adalah alat untuk memecah-belahkan pembangkang.

Timbalan Presiden AMANAH, Salahuddin Ayub, berkata ia terhasil daripada suatu perancangan sulit dan rapi pihak yang berkenaan selepas Pakatan Harapan (HARAPAN) kian mendapat sambutan daripada rakyat.

Dalam kenyataannya Salahuddin berkata, disebabkan itu kewujudan blok ketiga itu dijangka boleh memberi sumbangan kepada kemenangan BN.

Justeru, katanya, rakyat mesti diyakinkan bahawa kewujudan blok ketiga terbabit memang perancangan rapi untuk melemahkan pakatan pembangkang.

"AMANAH dan parti rakan dalam HARAPAN dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) akan melaksanakan kempen besar-besaran ke seluruh negara supaya rakyat benar-benar faham bahawa pakatan blok ketiga adalah proksi BN walaupun mereka menegaskan mereka tidak bersama BN," katanya.

Ketika beberapa parti bergabung dalam HARAPAN, PAS bersama beberapa parti lain membentuk kerjasama berasingan dan menganggap mereka sebagai "blok ketiga".

Ia diwujudkan sebagai satu lagi pilihan kepada pengundi selain BN dan HARAPAN.

BERSATU cuba membawa PAS menyertai HARAPAN namun mereka bertegas menolak kerana enggan bekerjasama dengan AMANAH serta DAP.

Beberapa pihak pula menganggap PAS mengambil sikap begitu kerana mengikut percaturan mereka, parti berkenaan memiliki kelebihan dengan tidak menyertai HARAPAN.

Salahuddin berkata, pada masa sama AMANAH menganggap BERSATU sebagai parti yang boleh diteladani.

Alasannya - parti itu dilihat bersegera memperkukuh posisi mereka bersama HARAPAN untuk "menentang kezaliman BN" yang didakwanya mengalami skandal terbesar ketika ini.

"Rakyat wajib menolak parti politik yang hanya ingin menjadi King Maker dan kelihatan pro-BN.

"Ini adalah parti yang tidak boleh dipercayai sama sekali untuk diberikan mandat dalam PRU14 akan datang," katanya.

Lihat Komen
ADS