Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Raja dadah 'Mr X' ada kaitan sindiket di M'sia

Kejayaan polis Thailand menangkap seorang daripada pengedar dadah utama Asia Tenggara, Xaysana Keopimpha, baru-baru ini
membolehkan pihak berkuasa membongkar banyak maklumat tentang operasi rangkaian yang diketuai warga Laos itu.

Menurut ketua Biro Pencegahan Narkotik Thailand (NSB) Lt Jen Sommai Kongvisaisuk, antara maklumat yang dicungkil daripada lelaki dikenali sebagai "Mr X" itu ialah berkaitan hubungannya dengan sindiket dadah Malaysia.

"Kesemua kes (besar) melibatkan sindiket yang cuba menyeludup dadah dari Thailand ke Malaysia itu menjurus kepada penglibatan Xaysana. Sindiket Malaysia berkenaan memperoleh dadah daripada rangkaian Xaysana," kata Sommai dalam wawancara eksklusif dengan Bernama di pejabatnya di Bangkok baru-baru ini.

Menurut beliau, siasatan menunjukkan sindiket Malaysia itu menjadi dalang dalam cubaan 21 rakyat Malaysia pada Mac tahun lepas untuk menyeludup 226 kg Methaphetamine dan 8 kg heroin dengan menggunakan kereta api.

Lima belas daripada lelaki itu ditangkap pihak berkuasa Thailand ketika dalam perjalanan dengan kereta api ke Butterworth dari Bangkok, manakala enam yang lain ditahan ketika menuju ke sempadan dengan sebuah van.

Kesemua mereka dikenakan pertuduhan dan sedang menunggu untuk dibicarakan.

"Kami terus menyiasat untuk mencungkil lebih banyak maklumat. Kami menjejaki sindiket itu hingga membawa kepada penangkapan baharu. Semuanya menunjukkan terdapat kaitan dengan sindiket dadah yang sama dari Malaysia," kata ketua NSB
itu.

Menurut beliau, dalam satu operasi susulan pada 30 Mac, pihak berkuasa Thailand menahan dua rakyat Malaysia yang menaiki dua kereta bersama 282 kg Methaphetamine di pusat pemeriksaan Imigresen Sadao dan siasatan mendapati ia juga mempunyai kaitan dengan rangkaian Xaysana.

Katanya, pihak berkuasa Thailand meneruskan siasatan mereka dan menggagalkan satu lagi cubaan untuk menyeludup 500 kg Methaphetamine ke Malaysia pada 17 Disember berikutan penangkapan tujuh rakyat Thailand di Chumphon.

"Semua kes ini mempunyai kaitan antara satu dengan lain serta didalangi sindiket yang sama dari Malaysia dan siasatan menunjukkan ia membabitkan Xaysana," kata Sommai, sambil menjelaskan bahawa dua rakyat Malaysia yang ditangkap di Chumphon pada 11 Disember itu juga mempunyai kaitan dengan sindiket itu.

Dalam operasi di Chumphon, pihak berkuasa Thailand mendapati 52.4kg heroin tulen dan 41kg Methaphetamine disorok dalam kereta mereka dan dadah itu dirancang untuk diseludup ke Pulau Pinang.

Heroin tulen seberat 52.4 kg itu dibungkus rapi dan tertera jenama "Double UOGlobe", yang sinonim dengan nama satu daripada kilang dadah terkenal yang terletak jauh di tengah belantara Laos.

Ditanya tentang destinasi terakhir semua dadah yang dipintas itu, Sommai berkata kebanyakannya adalah untuk pasaran luar seperti Jepun, Taiwan, Australia, Filipina dan Amerika Syarikat.

"Dadah yang dirampas itu terlalu banyak untuk pasaran Malaysia semata-mata. Ia boleh memusnahkan negara itu," katanya sambil menjelaskan bahawa badan penguatkuasaan dadah Thailand dan Malaysia sentiasa menjalin hubungan dan kerjasama rapat.

"Mr X", 41, yang disifatkan sebagai raja dadah rantau ASEAN oleh pihak berkuasa Thailand berikutan kedudukannya sebagai peneraju rangkaian dadah di rantau ini, ditangkap di Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 19 Januari.

Pihak berkuasa Thailand berkata Xaysana juga mempunyai kepentingan perniagaan dalam pelbagai bidang di Laos, termasuk perhotelan, kilang papan dan pengedaran kereta.

Ketua NSB itu percaya walaupun "Mr X" berjaya ditangkap, perang menentang sindiket dadah dan kegiatan penyeludupan bahan terlarang itu masih jauh daripada berakhir kerana "Xaysanas lain" pula akan mengambil alih dan meneruskan
peranannya itu.

"Selain Xaysana, terdapat beberapa orang lagi raja dadah di luar sana yang boleh mengambil alih peranannya," kata Sommai dan menegaskan bahawa perang terhadap ancaman dadah tidak terhenti dengan tertangkapnya warga Laos itu. -Bernama

Lihat Komen
ADS