Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Tidak, 'pu yao', 'mudiathu', kata Lim pada Ku Nan
Diterbitkan:  Feb 2, 2017 2:13 PM
Dikemaskini: 10:36 AM

Kerajaan negeri Pulau Pinang melahirkan bantahan keras terhadap cadangan Menteri Wilayah Persekutuan, Datuk Seri Tengku Adnan Mansor untuk menjadikan negeri itu sebagai sebahagian daripada wilayah persekutuan.

Ketua menteri, Lim Guan Eng berkata, cadangan itu adalah suatu tipu helah dan tidak masuk akal sama sekali.

“Kita akan beritahu Adnan 'tidak, pu yao dan mudiathu'”, kata Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng yang dipetik portal Free Malaysia Today di Komtar, Georgetown hari ini.

‘Pu yao’ adalah tidak dalam bahasa Mandarin manakala ‘mudiathu’ pula adalah dalam bahasa Tamil.

Lim mengulas kenyataan Tengku Adnan yang berhasrat menjadikan Pulau Pinang, Langkawi dan sebahagian dari Melaka sebagai sebahagian daripada Wilayah Persekutuan selain Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Semalam, Tengku Adnan semasa diwawancara stesen radio BFM sempena Hari Wilayah Persekutuan berkata beliau berharap konsep wilayah persekutuan boleh ‘dikembangkan’ kepada wilayah atau negeri lain.

"Saya ingin mengembangkan Wilayah Persekutuan. Jika boleh, saya mahu ambil Langkawi, Pulau Pinang, dan bahagian tertentu Melaka," katanya dalam bahasa Inggeris dalam temu bual itu.

Mengulas lanjut, Lim berkata beliau tidak akan menjual Pulau Pinang.

"Hanya orang yang hilang akal akan cakap macam ini."

Menurut Lim, cadangan itu juga bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan kerana dilihat memberi ancaman terhadap perpaduan negeri-negeri dalam persekutuan Malaysia.

“Apa yang dikatakan (Ku Nan) tanpa sebarang rundingan mengancam perpaduan dan persekutuan Malaysia.

“Ini boleh dianggap sebagai hasutan. Sebab kamu mengancam perpaduan persekutuan Malaysia,” katanya

Beliau juga menyindir Tengku Adnan sebagai "penakluk" kerana tidak peduli untuk membincangkan cadangannya dengan negeri-negeri terlibat sebelum mengeluarkan kenyataan berkenaan secara terbuka.

“Ini adalah pelik dan sumbang. Jangan cubalah. Penduduk Pulau Pinang tak akan gembira menjadi negeri yang pupus. Ini boleh dianggap menghasut.

"Saya tidak mahu menjadi ketua menteri terakhir Pulau Pinang. Akan ada ketua menteri lain selepas saya. Saya tidak mahu menjadi pembelot dan pengkhianat,” kata Lim.

Selangor kehilangan Kuala Lumpur yang menjadi ibu negerinya sehingga 1974 apabila kawasan itu dijadikan ibu negara.

Bagaimanapun, pusat pentadbiran itu kemudian dipindahkan ke Putrajaya, satu lagi kawasan milik Selangor.

Sabah pula menyerahkan Labuan kepada pusat pada tahun 1984 untuk dijadikan pusat kewangan luar pesisir.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS