PAS S'wak: Masa kembalikan subsidi minyak

   

PAS Sarawak menggesa kerajaan mengembalikan pemberian subsidi minyak kepada golongan berpendapatan rendah dan sederhana jika harga runcitnya terus naik setiap bulan.

Pesuruhjayanya Jofri Jaraiee mengingatkan kerajaan bahawa Pentadbiran Maklumat Tenaga (EIA) Amerika Syarikat telah memberi amaran ketidakstabilan akan berterusan dan peniaga pula meramalkan harganya boleh berada dari AS$35 kepada AS$93 setong pada akhir 2018.

“Itulah julat yang lebih tinggi daripada ramalan bulan lalu.

“Peniaga rasa harga akan sama ada jauh lebih rendah atau lebih tinggi daripada ramalan EIA,” katanya.

Katanya, mengikut kajian itu harga minyak yang tidak stabil serta kemungkinan terus meningkat akan menyebabkan pengguna berpendapatan rendah terpaksa membayar lebih, terutama jika nilai ringgit terus jatuh.

Harga minyak RON95 dan RON97 naik 20sen mulai tengah malam semalam, manakala diesel pula 10sen.

Harga runcit petrol RON95 kini menjadi RM2.30 seliter, RON97 (RM2.60 seliter) dan diesel )RM2.15 seliter)

Sementara itu, PAS Sarawak juga mencadangkan pemberian subsidi berdasarkan jenis kereta dan CC kenderaan itu.

“Kita mencadangkan kepada kerajaan mengenakan bayaran tanpa subsidi kepada kereta jenis Sedan mewah dan yang mempunyai CC besar,” kata Jofri.

“Kereta ini biasanya bersaiz besar dengan beberapa gadget mewah dan memberi subsidi kepada kenderaan biasa yang bukan jenis mewah dengan menggunakan kad prabayar dan sebagainya untuk membuktikan mereka layak untuk mendapatkan subsidi bahan api.”

Beliau mengingatkan kesan berantai jika harga minyak terus naik, termasuk peningkatan kos pengangkutan awam dan harga barangan keperluan harian.

“Harap pihak kerajaan memberi perhatian serius tentang masalah rakyat ini kerana sekarang keadaan kehidupan rakyat semakin tertekan dengan masalah ini,” katanya.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda