Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Cadang PP jadi WP sebab Melayu tak dipedulikan, kata Ku Nan
Diterbitkan:  Feb 4, 2017 9:41 PM
Dikemaskini: 2:24 PM

Hasrat Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor untuk menjadikan Pulau Pinang sebahagian Wilayah Persekutuan adalah bermatlamat untuk memastikan negeri itu mendapat limpahan pembangunan yang sama rata.

Tengku Adnan berkata idea yang dilontarkan beliau itu bukanlah berniat mahu meluaskan kuasa ke negeri itu, sebaliknya disebabkan keprihatinan beliau terhadap nasib Melayu di sana.

"Apa yang berlaku di Pulau Pinang kita tahu, dia (kerajaan negeri) tidak pedulikan orang Melayu," katanya kepada pemberita selepas Majlis Khatam al-Quran Wilayah Persekutuan 2017 hari ini.

Beliau berkata sekiranya perkara itu dapat direalisasikan, kerajaan pusat akan memastikan bahawa cara pembangunan di Pulau Pinang adalah untuk semua dan bukanlah untuk satu-satu kaum sahaja.

"Kita akan mentadbir daripada peringkat kerajaan pusat seperti di Labuan yang mana kita telah laburkan lebih RM5 bilion sejak dari tarikh kita ambil alih dan kita akan pastikan bahawa cara pembangunan itu untuk semua dan sama rata," katanya.

"Saya hairan kenapa parti DAP meloncat-loncat dalam isu ini...barangkali mereka tahu yang kita tahu yang mereka tidak melaksana pentadbiran dengan baik di Pulau Pinang," katanya.

Namun, kata Tengku Adnan, semua itu hanyalah idea daripada beliau sendiri sebagai Menteri Wilayah Persekutuan dan perkara itu memerlukan kertas cadangan, referendum serta persetujuan di peringkat kepimpinan negara.

Jelasnya bukan sahaja di Pulau Pinang, tetapi idea yang sama turut dirasakan bersesuaian di Langkawi, Kedah; Pulau Tioman, Pahang dan sebahagian Melaka.

- Bernama

Lihat Komen
ADS