Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS berharap pada 'sulbi Umno'
Diterbitkan:  Feb 6, 2017 7:26 PM
Dikemaskini: 1:01 PM

PAS berharap belajar daripada tindakan matang Nabi Muhammad, yang antaranya mendoakan penduduk Taif yang memberikan layanan buruk kepada Baginda.

Baginda, kata Mursyidul Am PAS Hashim Jasin, mendoakan agar lahir pejuang Islam daripada "sulbi penduduk Taif" yang menzalimi baginda.

Beliau berkata demikian ketika mengulas politik matang Rasulullah, ketika parti itu perlu memilih “antara dua kemudaratan” dalam politik.

Dalam konteks politik negara, kata Hashim, PAS tidak berkompromi terhadap “kezaliman dan penyelewengan” Umno dan BN tetapi harus diakui bahawa mereka boleh dimanfaatkan untuk membela Islam dalam isu tertentu.

Antaranya, kata Hashim lagi, dalam isu Rohingya, Palestin dan pindaan Akta Mahkamah Syariah.

"Seperti Nabi SAW mengharapkan lahirnya pejuangan-pejuang Islam dari sulbi penduduk Taif, PAS juga mengharapkan lahirnya penyokong-penyokong Islam dari sulbi Umno.

"Kebencian mereka terhadap kebobrokan Najib Razak akan menguatkan Islam dengan sikap pemaaf dan kesediaan kita memberikan penghormatan terhadap bekas-bekas pemimpin mereka.

"Kita mempelajari seni politik Rasulullah yang sangat matang itu, dan kita sepatutnya mengambil pendekatan serupa dalam menjana kemenangan Islam," katanya dalam kenyataan disiarkan Harakahdaily.

Di sebalik pendirian PAS yang menjadi pembangkang, sikap parti itu terhadap Umno sejak akhir-akhir ini menimbulkan rasa kurang senang serta curiga sesetengah pihak.

Pada masa sama, PAS memutuskan sama sekali hubungan - dan menolak sebarang kerjasama - dengan dua parti pembangkang lain, iaitu DAP dan Parti Amanah Negara (AMANAH) yang kini membentuk gagasan Pakatan Harapan bersama PKR.

PAS membina kumpulan tersendiri - dinamakan sebagai Gagasan Sejahtera - bersama Parti Ikatan Bangsa Malaysia (IKATAN) yang dipimpin bekas menteri Umno, Tan Sri Kadir Sheikh Fadzir.

Gabungan itu menawarkan pendekatan politik "matang dan sejahtera".

Menurut Hashim, pendekatan matang dalam tindakan politik membolehkan Islam bangkit, daripada agama yang ditentang keras di Mekah menjadi agama yang diterima oleh semua bangsa dan budaya di seluruh dunia.

Tawaran azab

Matang, kata Hashim, bermaksud bertindak mengikut pertimbangan iman dan akal, bukannya hawa nafsu, serakah, kesumat dan sentimen sehingga menolak kebenaran sebagai benar dan kebatilan sebagai batil.

Perihal kematangan Rasulullah dalam dakwah, katanya, banyak dicatat oleh ulamak, sehingga terzahir kebijaksanaan yang memberikan kemenangan besar kepada Islam.

Merujuk kepada kejadian Muhammad ke Taif, Hashim menjelaskan bagaimana nabi dilayan sangat buruk termasuk dimaki dan dicederakan.

"Begitu juga ketika pembukaan kota Mekah, baginda mengambil tindakan matang dengan menjadikan rumah Abu Sufian sebagai tempat perlindungan kepada orang Mekah.

"Bukankah Rasulullah SAW telah mempelopori politik matang dalam sejarah Islam?" katanya lagi.

PAS sebagai sebuah gerakan Islam yang berkecimpung dalam arena politik negara, katanya, mereka memilih untuk mengikuti jejak Rasulullah dengan berpolitik secara matang.

PAS, kata Hashim, memilih antara dua kemudaratan, iaitu antara bertaawun (tolong menolong) dengan orang Islam yang zalim atau bertahaluf (bekerjasama) dengan orang bukan Islam yang keras sikapnya terhadap Islam.

"(Berbeza) dengan DAP yang mempunyai sikap yang keras terhadap Islam, anti-Islam dan sentiasa menolak sebarang usaha menegakkan Islam.

"Kita pernah dua kali bertahaluf dengan DAP melalui Barisan Alternatif (1999-2001) dan Pakatan Rakyat (2008-2015), ketika DAP bersikap lunak terhadap Islam.

"Terkeluarnya DAP dari BA pada 2001 adalah kerana keras sikap mereka terhadap negara Islam, sedangkan pegeseran pada 2015 juga berkait usaha PAS melaksanakan undang-undang syariat di Kelantan.

"Ketika kita tidak dapat menerima sama sekali politik anti Islam yang didukung oleh DAP dan tindakan zalim BN ke atas rakyat, kita sebenarnya mempunyai sasaran bahawa ahli-ahli Umno dan penyokong BN adalah mad'u kita," katanya.

Lihat Komen
ADS