Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
story images
mk-logo
Berita

Syarikat penyedia perkhidmatan pengangkutan berasaskan aplikasi GrabCar diminta mengkaji semula dasar berkaitan penolakan pendapatan pemandu yang didakwa membebankan.

Beberapa pemandu dan NGO Ikatan Usahawan Kecil dan Sederhana Malaysia (IKHLAS) hari ini tampil menyuarakan perasaan tidak puas hari mereka dalam satu sidang media di ibu negara.

Seorang pemandu mahu dikenali sebagai Apache Ringgo (gambar) tidak berpuas hati dan mendakwa pendapatannya berkurangan sehingga RM200 seminggu.

“Dalam dua minggu ini pemandu dapat mesej mengatakan kalau kita tidak ambil penumpang, kita akan dipotong RM1.

“Saya harap pihak Grabcar mengkaji semula apa yang berlaku sekarang,” katanya dalam sidang media di sebuah restoran mamak hari ini.

'Bagaimana kami nak hidup?'

Bagi Mohd Kamarul Faisal Kamarulzaman 41, pula berkata langkah itu menyebabkan pemandu terpaksa menanggung bebanan hutang dengan syarikat.

Katanya mengikut anggaran, setiap hari beliau akan mengambil sebanyak 25 pelanggan daripada 50 pelanggan yang dicadangkan oleh GrabCar.

"Jika, kita (pemandu GrabCar) tolak satu pelanggan kami, GrabCar akan tolak RM1. Kalau dalam tempoh seminggu, kita tidak boleh tolak lebih 200 pelanggan.

"Tetapi ada segelintir daripada pemandu GrabCar ditolak RM1,100 sehingga RM1,600 sebulan daripada pendapatan mereka yang memandu GrabCar.

“Kalau satu hari kami dapat 50 pelanggan dan biasanya kami paling banyak akan tolak 25 pelanggan sehari.

"Jadi pemotongan yang dibuat itu tidak patut. Bagaimana nasib pemandu GrabCar nak menyara kehidupan mereka selepas ini jika pendapatan mereka dipotong sebanyak itu," keluhnya.

NGO beri masa seminggu

Sementara itu Presiden IKHLAS berkata pihaknya memberi masa seminggu kepada GrabCar untuk menyelesaikan perkara tersebut atau berdepan siasatan polis.

“Jangan mangsakan pemandu GrabCar kerana harga pemanduan ditentukan oleh GrabCar kita beri masa satu minggu kepada GrabCar dan jika tidak kita akan buat laporan polis” tegasnya.

IKHLAS mendakwa ramai anggotanya turut menjadi pemandu syarikat itu.

Maklumat di laman web GrabCar menyebut pemandu perlu mengambil sekurang-kurangnya 85 peratus penumpang yang dicadangkan menerusi aplikasi di telefon pintar.

Penolakan RM1 bagi setiap pembatalan yang dibuat kepada pemandu kerana gagal menjalankan tugas.

Malaysiakini sedang cuba mendapatkan reaksi GrabCar berkaitan aduan ini.

Lihat Komen
ADS