Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita

Mursyidul Am PAS Hashim Jasin sekali lagi berdepan dakwaan memiliki kereta sport mewah Porsche.

Ia bermula apabila seorang pengguna Facebook memuat naik gambar semakan butiran atas talian yang menunjukkan Hashim memiliki Porsche atas namanya.

Kereta itu didakwa didaftarkan pada tahun 2012.

Bagaimanapun, perkara itu mungkin tidak menjadi isu di kalangan penyokong PAS.

Ketua Pemuda PAS Wilayah Ir Khairil Nizam Khirudin (gambar) ketika ditanya pemberita hari ini menafikan dakwaan itu dan berkata kereta itu mungkin dimiliki oleh sanak saudara Hashim.

“Kami yakin dengan mursyidul am kami tidak ada kereta Porsche atas nama beliau.

“Mungkin atas nama sanak saudara beliau. Salah ke sanak saudara dia ada kereta Porsche,” katanya kepada pemberita di luar ibu pejabat polis daerah (IPD) Dang Wangi.

Dakwaan Hashim memiliki itu disebarkan di media sosial selepas beliau menafikan PAS menerima dana RM90 juta daripada Umno berbangkit kembali.

Beliau membayangkan pemimpin PAS tidak hidup mewah dan beliau sendiri hanya memiliki kereta Proton Saga dan rumah bernilai antara RM50,000 hingga RM60,000 saja.

Mengulas lanjut, Khairil menggesa pihak yang tidak berpuas hati untuk membuat semakan sekali lagi berkaitan kereta itu.

“Itu hak peribadi dia. Barangkali kereta anak dia, senang saja, tuan pergi periksa kereta itu kereta dia atau tidak, mana boleh kaitkan macam itu,” katanya.

Beliau turut menafikan bahawa kereta tersebut mempunyai kaitan dengan dakwaan dana RM90 juta.

Katanya, sekiranya PAS mempunyai wang sebanyak itu mereka tidak akan membeli kereta sebaliknya berjuang untuk rakyat.

“(Kereta) tidak ada kaitan dengan dana RM90 juta. RM90 juta ini banyak, kalau kita dapat dana RM90 juta dan kami pejuang Islam, kami tak beli kereta, kami tolong rakyat,” katanya.

Malaysiakini sudah menghubungi Hashim berkaitan perkara ini dan menunggu maklum balas daripadanya.

Isu berkaitan kereta itu pernah timbul beberapa tahun lalu dan Hashim dilaporkan berkata kereta Porsche Cayman yang didaftarkan atas namanya adalah milik anaknya yang memiliki perniagaan sendiri.

Beliau menyifatkan menjadi mangsa usaha memburukkan namanya selaku pemimpin tertinggi PAS Perlis ketika itu.

“Saya sudah jelaskan kereta itu milik anak saya yang dibeli semasa di England tahun lalu, dengan harga kira-kira RM100,000.

“Dia menggunakan permit import (AP) kereta yang diperuntukkan kepada saya secara sah sebagai wakil rakyat,” beliau dipetik sebagai berkata.

Lihat Komen
ADS