Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Cuepacs mahu Najib abai gesaan kurangkan penjawat awam

Kongres Kesatuan Pekerja-Pekerja Dalam Perkhidmatan Awam (Cuepacs) hari ini menggesa Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak supaya mengabaikan gesaan untuk mengurangkan jumlah penjawat awam di negara ini.

Ini kerana kata Presiden Cuepacs Datuk Azih Muda terdapat hanya 500,000 penjawat awam di negara ini dan bukannya 1.6 juta seperti yang didakwa oleh sesetengah pihak.

“Kami telah semak Perkara 132 Perlembagaan Persektuan di mana semua perkhidmatan termasuk angkatan tentera, polis dan perguruan dan kesihatan termasuk majlis tempatan diklasifikasikan sebagai perkhidmatan awam

“Sedangkan kami semak di negara maju, penjawat awam tak termasuk polis, tentera, guru dan mereka di sektor kesihahtan.

“Kalau dianalisis, sebenarnya jumlah itu 500,000 sahaja jika tidak termasuk empat cabang yang saya sebutkan itu,” katanya pada sidang akhbar selepas membincangkan isu berkenaan dalam kongres khas hari ini.

Menurut beliau, kini terdapat 450,000 kakitangan di Kementerian Pendidikan, 270,000 di Kementerian Kesihatan dan 300,000 lagi berkhidmat dengan pasukan polis dan angkatan tentera.

“Hari ini Kongress telah putuskan bahawa Cuepacs tak setuju dengan kenyataan (mengurangkan jumlah penjawat awam) itu

“Cuepacs ambil pendirian sebulat suara tolak cadangan itu,” katanya.

Azih berkata cadangan itu dianggap tidak munasabah dan tidak prihatin terhadap nasib kakitangan bawahan seperti golongan B40 dan M40.

Beliau berkata, zaman kini berbeza dengan sebelumnya seiring pertambahan penduduk dan pelancong luar yang sekali gus menjadikan tugas kakitangan awam kian bertambah.

"Situasi semakin membebankan apabila ada jabatan yang kekurangan kakitangan seperti sektor pendidikan dan kesihatan.

“Bayangkan, seorang guru terpaksa mengajar lebih 40 pelajar dalam satu masa dan manakala seorang doktor terpaksa merawat ramai pesakit di klinik daerah.

"Saya hairan, ....kenapa cadangan ini timbul pada tempoh 'idah' nak dekat Pilihan Raya Umum (PRU). Sebagai seorang pesara, beliau (Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim) sepatutnya sumbang idea bagaimana untuk tingkatkan dedikasi, produktiviti dan integriti kakitangan awam.

"Saya juga berharap cadangan ini bukan bibit-bibit mahu swastakan jabatan tertentu. Tolong ambil iktibar dasar penswastaan sebelum ini yang merugikan," katanya.

Isnin lalu, bekas ketua setiausaha perbendaharaan, Tan Sri Mohd Sheriff Mohd Kassim mencadangkan kerajaan supaya mengecilkan saiz perkhidmatan awam selagi mampu berbuat demikian.

Katanya, langkah itu perlu supaya Malaysia tidak terjerumus ke dalam krisis kewangan seperti yang berlaku di Greece.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS