Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Hadi: Keluar PAS jika tak sehaluan
Diterbitkan:  Feb 17, 2017 4:53 PM
Dikemaskini: 9:23 AM

Anggota parlimen Pokok Sena Datuk Mahfuz Omar mungkin berdepan tindakan disiplin oleh PAS jika siasatan mendapati beliau bersalah kerana kerap mengkritik kepimpinan parti.

"Saya dimaklumkan telah ada laporan yang dibuat ke atas beliau (Mahfuz) kepada jawatankuasa disiplin parti.

“Kita tunggu sahaja keputusannya nanti," kata presidennya Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang dipetik Bernama selepas menyampaikan kuliah Jumaat di Masjid Rusila, di Marang, hari ini.

Hadi juga dilaporkan menasihati pemimpin dan anggota PAS yang tidak lagi sehaluan dengan perjuangan parti atau tidak dapat menerima dasar-dasar PAS agar keluar parti.

Rabu lalu, Naib Presiden PAS, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah menasihatkan Mahfuz supaya keluar dari PAS daripada terus mengkritik dan menyerang parti itu.

“Seelok-eloknya dia yang keluar, daripada jadi macam sekarang ini, tidak tahu ke mana, duduk dalam PAS tapi serang PAS. Kritik PAS, baik dia isytihar keluar, buat apa duduk lama-lama dalam PAS,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Mahfuz yang berkata PAS tidak perlu menunggu muktamar parti itu pada bulan April ini untuk menentukan kerjasama dengan PKR kerana PAS sudah mengetahui PKR mempunyai hubungan dengan DAP dan AMANAH.

Sehubungan itu, Mahfuz turut mencadangkan PAS menarik diri daripada kerajaan negeri Selangor yang turut dianggotai PKR dan DAP bagi membuktikan ketegasan prinsip parti Islam itu.

Sebaliknya, Mahfuz menempelak timbalan menteri besar Kelantan itu dengan berkata, Nik Amar yang berlatar belakang pensyarah universiti serta berpendidikan Islam, tidak sepatutnya membawa sifat 'menghalau' hanya kerana ahli PAS mengambil tanggungjawab menegur parti.

 

Lihat Komen
ADS