Terjemahan Kerajaan PAS di Kelantan akan mengenakan denda maksium ke atas wanita Islam di negeri itu yang tidak memakai tudung.

Majlis Perbandaran Kota Bharu ibu negeri Kelantan akan denda maksima RM50 ke atas mereka yang melakukan kesalahan itu.

"Sudah sampai masanya untuk mengenakan kompaun (denda) maksima. Kami berharap ia akan meningkatkan lagi kesedaran (mengenainya)," kata jurucakap majlis tersebut, Azman Mohamad Daham seperti yang dilaporkan oleh akhbar New Straits Times.

Akhbar itu berkata, 80 wanita, sebahagian besarnya pembantu kedai, telahpun dikenakan denda RM30 sepanjang lima bulan pertama tahun ini.

"Ramai Wanita didapati tidak memakai tudung pada waktu malam dan pada hujung minggu kerana mereka menjangka tidak ada pegawai penguatkuasa bertugas pada waktu itu," katanya.

Menurutnya, penguatkuasaan akan diteruskan bagi memastikan peraturan memakai tudung itu dipatuhi.

PAS, yang memerintah Kelantan sejak 15 tahun lalu, memperkenalkan peraturan pakaian pada 1995 yang mewajidkan wanita Islam yang bekerja di tempat awam, memakai pakaian yang menutup badan mereka, kecuali tapak tangan dan muka.

Mini skirt dilarang

Pekerja di kalangan wanita bukan Islam pula dilarang memakai mini skirt atau pakaian yang mendedahkan badan mereka.

Sejak itu, majlis perbandaran yang menguatkuasakan peraturan itu, telah mendenda wanita yang tidak memakai tudung dan memberi amaran tidak akan membaharui lesen perniagaan majikan yang pekerja mereka tidak mematuhinya.

PAS, yang mahu menubuhkan negara Islam di Malaysia, telah memperkenalkan banyak peraturan di Kelantan.

Ini termasuklah larangan membuka salon uniseks, tempat urut dan majlis menyanyi dan menari di tempat terbuka. PAS juga menggalakkan wanita Islam supaya tidak memakai gincu.

Bagaimanapun, parti itu kehilangan Terengganu kepada Barisan Nasional (BN) dalam pilihanraya umum tahun lalu, selepas berkuasa selama satu penggal.

Dalam pilihanraya umum itu juga, BN hampir merampas Kelantan daripada PAS apabila parti itu hanya mampu mengekalkan kuasanya dengan majoriti tiga kerusi sahaja.

- AFP