Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
PAS juga minta k'jaan teliti semula lantikan Madinah
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 2:53 PM
Dikemaskini: 6:56 AM

Ketua Penerangan Pas, Nasrudin Hassan berkata, kerajaan perlu meneliti sedalam-dalamnya pelantikan ketua audit negara yang baru supaya bebas daripada pengaruh politik demi mengembalikan keyakinan rakyat.

Kata Nasrudin, pengumuman bagi melantik Tan Sri Madinah Mohamad untuk jawatan tersebut semalam dipertikaikan banyak pihak memandangkan beliau merupakan isteri kepada salah seorang pemimpin Umno.

"Ketua Audit Negara adalah badan penting dalam menjadi 'check and balance' kepada perjalanan pemerintahan kerajaan. Namun, senarionya tidak seperti yang diharapkan.

"Meskipun tidak dinafikan pengalaman dan latar belakang pendidikannya, tetapi kedudukan beliau itu menjadikan hampir tiada jaminan tidak akan berlaku campur tangan politik dalam menjalankan tugas sebagai ketua audit negara.

"Oleh itu, PAS mendesak agar kerajaan menyemak semula pelantikan ketua audit negara yang telah dibuat supaya jawatan dan jabatan ini kekal bebas daripada sebarang campur tangan politik," katanya, memetik laporan Harakahdaily.

Pelantikan Madinah itu dipertikai walau beliau belum pun memasuki pejabat.

Selepas isu berkaitan suaminya, bekas ketua setiausaha kementerian pendidikan itu berdepan pertikaian berhubung kelayakannya.

Pusat Memerangi Rasuah dan Kronisme (C4), membangkitkan kebimbangan itu dengan berhujah seorang ketua audit negara harus mempunyai kebolehan dan pengetahuan khusus dalam bidang audit, perakaunan dan pengurusan kewangan.

“Apa proses dan pertimbangan perdana menteri yang mencadangkan beliau ke jawatan itu?” soal pengarah eksekutif C4 Cynthia Gabriel.

Madinah, 60, berkelulusan sarjana muda dalam bidang sains politik serta ijazah sarjana dan kedoktorannya pula diperoleh dalam bidang sumber manusia.

Mengulas lanjut, Nasrudin berkata, saban tahun, laporan ketua audit negara seringkali melaporkan kelemahan dan kecuaian dalam pengurusan projek dan kewangan pihak kerajaan, malangnya, tiada perubahan berlaku.

"Ia ibarat suatu rutin biasa yang tidak dipandang serius oleh pihak kerajaan," katanya lagi.

Lihat Komen
ADS