Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
HARAPAN sokong MTUC, mahu dividen KWSP lebih tinggi
Diterbitkan:  Feb 22, 2017 6:51 PM
Dikemaskini: 11:04 AM

Pakatan Harapan (HARAPAN) menyokong gesaan Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) mengenai kadar dividen pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang lebih tinggi pada tahun 2016.

Dalam kenyataan bersama oleh Dr Dzulkefly Ahmad dari Parti Amanah Negara (AMANAH), Wong Chen (PKR) dan Teresa Kok dari DAP, HARAPAN mahu dividen lebih tinggi selaras dengan kenaikan kos sara hidup.

"Dividen KWSP yang lebih tinggi selaras dengan lonjakan kos pengangkutan awam serta kenaikan kadar gaji yang perlahan dan ditambah dengan kesan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST).

"Keseluruhan 10 juta pekerja sektor swasta mengharapkan dividen lebih baik daripada dana itu kerana ia satu-satunya sumber simpanan mereka," kata HARAPAN dalam kenyataan.

Beberapa hari yang lalu, KWSP mengisytiharkan kadar dividen 5.70 peratus bagi 2016, dengan jumlah pengagihan pendapatan sebanyak RM37.08 bilion.

Pengerusinya, Tan Sri Samsudin Osman berkata KWSP gembira kerana berjaya mengatasi dua sasaran pelaburan KWSP secara konsisten iaitu untuk mengisytiharkan kadar dividen nominal sekurang-kurangnya 2.5 peratus setiap tahun dan kadar dividen sebenar melebihi inflasi sekurang-kurangnya 2.0 peratus bagi purata bergerak tiga tahun.

"Sebagai sebuah dana simpanan persaraan, KWSP sentiasa memberi penekanan terhadap pulangan yang mampan untuk jangka panjang berbanding pulangan jangka pendek.

"Ini merupakan satu pencapaian yang baik walaupun berhadapan dengan keadaan pasaran yang sukar. Bagi 2016, dividen sebenar untuk purata tiga tahun bergerak adalah 3.83 peratus, 183 mata asas melebihi sasaran," kata Samsudin.

Mengulas lanjut, HARAPAN berkata, pihaknya juga berpendapat tindakan KWSP mengisytiharkan kadar dividen lebih rendah berbanding 6.4 peratus pada tahun 2015 tersasar dengan hasrat kerajaan yang mahu rakyat mempunyai nilai simpanan yang tinggi pada hari tua.

"HARAPAN juga melihat bahawa penurunan dividen ini berpunca daripada pelaburan KWSP di dalam syarikat sarat hutang, iaitu 1Malaysia Development Berhad(1MDB) sebanyak RM1.72 bilion.

"Oleh itu, HARAPAN menggesa supaya KWSP segera melupuskan pegangan dan pelaburan dalam 1MDB terutamanya dalam bon-bon bagi melindungi kepentingan pencarum.

"KWSP kini berdepan masalah kewangan yang akhirnya memberi kesan kepada pencarum dan pendepositnya.

"Pelaburan KWSP sebanyak RM1.72 bilion adalah satu jumlah yang besar, apatah lagi bila dana ini adalah simpanan wang rakyat yang diuruskan oleh KWSP," tambahnya.

Lihat Komen
ADS