Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Isu Audi Q7: Ku Seman setuju dengan MP PAS tapi...
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 12:47 PM
Dikemaskini: 4:51 AM

Isu kereta mewah Audi Q7 yang dibeli Anggota Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali terus menjadi perhatian umum, kali ini diulas pula oleh bekas pengarang kanan akhbar Utusan Malaysia, Ku Seman Ku Hussain.

Ku Seman berkata, beliau sangat setuju dengan Khairuddin bahawa urusan membeli kereta itu adalah haknya kerana mempunyai kemampuan.

"Saya ada terbaca kontroversi Khairuddin yang menghadiahkan kereta mewah Audi Q7 kepada isterinya. Kereta itu bukanlah mahal pun bagi MP itu walaupun berharga lebih kurang setengah juta RM. Khabarnya dia memang mampu.

"Tetapi Khairuddin kena membezakan antara membeli dan menunjuk-nunjuk kereta itu hingga menjurus kepada perbuatan riak. Kalau tidak silap saya, Islam melarang perbuatan yang menjurus kepada riak, apatah lagi dalam keadaan sesetengah rakyat terpaksa ikat perut untuk hidup.

"Saya percaya rakyat pun tidaklah zalim, kerana mereka miskin, orang yang kaya raya tidak boleh menikmati hidup yang lebih baik," kata Ku Seman dalam catatan di media sosial.

Semalam, Khairuddin mempertahankan langkahnya membeli kereta mewah Audi Q7 yang dianggarkan bernilai setengah juta ringgit buat isterinya, yang menyebabkan beliau diserang hebat di Internet.

Ketua penerangan Dewan Ulama PAS itu dilaporkan mempertahankan tindakan itu kerana ia sebahagian daripada haknya.

“Saya ada hak beli apa yang saya mahu.

“Saya boleh beli lori atau kapal terbang, ini bukan urusan mereka,” beliau dipetik sebagai berkata.

Isu itu timbul minggu ini selepas isterinya didakwa memuat naik gambar kereta itu di Facebook dengan status bertulis:

"Kita dapat hadiah kereta dari En Somi"," tulisnya.

Mengulas lanjut, Ku Seman berkata, Khairuddin dan isterinya tidak wajar merendahkan kedudukan mereka setaraf artis atau tauke kosmetik yang sesetengahnya sangat riak dengan kekayaan.

"Biarlah, mereka itu selebriti. Membuat riak macam mana sekalipun media tetap beri publisiti seolah-olah itulah yang betul.

"Saya harap Khairuddin tidak akan terganggu untuk terus menikmati kekayaan yang menjadi haknya. Tetapi tidak perlulah dihebahkan," jelasnya lagi.

Lihat Komen
ADS