Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Untung sebelum cukai Maybank susut kepada RM8.8b
Diterbitkan:  Feb 23, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 10:20 AM

Untung sebelum cukai Malayan Banking Bhd (Maybank) bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2016 susut kepada RM8.84 bilion daripada RM9.15 bilion yang dicatatkan pada tahun kewangan 2015.

Perolehan bagaimanapun, meningkat kepada RM44.66 bilion daripada RM40.56 bilion pada tahun kewangan 2015.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan perbankan terbesar di Malaysia itu berkata keuntungan sebelum cukai bagi suku keempat yang berakhir pada 31 Disember 2016 naik kepada RM2.87 bilion berbanding RM2.38 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama sebelumnya.

Dalam satu kenyataan hari ini, Maybank berkata keuntungan sebelum cukai yang rendah sedikit itu disebabkan oleh tambahan peruntukan pinjaman yang dibuat sepanjang tahun.

"Ini berikutan langkah proaktif kumpulan untuk menjadualkan dan menyusun semula kemudahan kredit pelanggan yang berpotensi mudah terjejas dengan keadaan ekonomi yang lembap," katanya.

Pengerusi Maybank Tan Sri Megat Zaharuddin Megat Mohd Nor berkata prestasi kumpulan jelas menunjukkan kekuatan dan daya tahannya meskipun persekitaran operasi yang tidak menentu terhasil daripada harga komoditi yang lemah dan pelbagai perkembangan geo-politik.

Beliau berkata saluran perniagaan bank yang pelbagai, kedudukan dan francais yang kukuh terus menyediakan peluang pertumbuhan perolehan dan memberikan nilai kepada pemegang saham.

"Memandangkan kita bakal berdepan tahun yang tidak menentu, kami berhasrat untuk terus menyokong pelanggan kami melalui tempoh ini di samping meneroka peluang pertumbuhan, terutamanya dalam segmen infrastruktur yang dijangka menjadi pemacu utama ekonomi serantau," katanya.

Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif Datuk Abdul Farid Alias berkata bank terus mendapat manfaat daripada langkah berhemat yang diambil kumpulan setahun lalu untuk mengurus kualiti aset dengan lebih baik dan menyediakan penampan tambahan sekiranya berlaku kelembapan yang teruk, serta langkah kawalan untuk meningkatkan hasil dan disiplin dalam menguruskan kos.

"Walaupun kami menyaksikan pemulihan yang sederhana pada suku keempat tahun kewangan 2016, kami memilih untuk mengekalkan pendekatan berhati-hati dalam usaha terus menjadualkan dan menstruktur semula akaun yang boleh mengalami tekanan dalam jangka sederhana, memandangkan prospek mencabar di masa depan," katanya.

Bagi tahun penuh, pinjaman kasar kumpulan meningkat 5.7 peratus, dipacu oleh peningkatan 8.7 peratus dalam operasi di Indonesia, 6.3 peratus di Malaysia dan 4.5 peratus di Singapura.

Deposit juga kekal dalam trend meningkat yang mencerminkan kelebihan kumpulan di rantau ini, naik 5.2 peratus berbanding tahun ke tahun kepada RM521.4 bilion setakat Disember 2016.

Disiplin pengurusan aset dan liabiliti sepanjang tahun telah membolehkan kumpulan mengawal tekanan terhadap margin, menjadikan margin faedah bersih bagi tahun kewangan 2016 tuurn hanya empat mata asas kepada 2.27 peratus daripada 2.31 peratus tahuns ebelumnya.

Pada masa yang sama, kawalan kos yang ketat memastikan kenaikannya disekat pada kadar di bawah pertumbuhan perolehan, menjadikan nisbah kos kepada pendapatan kumpulan ke paras rendah dalam enam tahun pada 47.3 peratus.

Lembaga pengarah mencadangkan dividen single-tier akhir pada 32 sen sesaham.

Ia mengumumkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 78.1 peratus daripada keuntungan bersih bagi tahun kewangan 2016, dengan hasil dividen sebanyak 6.3 peratus, antara tertinggi di rantau ini dalam kalangan kumpulan perbankan.

Perniagaan perbankan Islam kumpulan mencatatkan pertumbuhan yang baik dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 13.4 peratus kepada RM1.95 bilion berbanding tahun sebelumnya.

Etiqa Insurance & Takaful mencatatkan peningkatan kukuh dalam keuntungan sebelum cukai pada 34 peratus kepada RM809.7 juta berdasarkan kepada kenaikan 4.3 peratus dalam pendapatan operasi bersih kepada RM1.59 bilion.

PT Bank Maybank Indonesia Tbk mencatatkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti tertinggi sebanyak 1.9 trilion rupiah bagi tahun kewangan 2016, peningkatan 71 peratus berbanding 1.1 trilion rupiah yang dicatatkan pada tahun sebelumnya.

Operasi Maybank di Indochina yang terdiri daripada Kemboja, Vietnam, Laos dan Myanmar, menyaksikan keuntungan sebelum cukai bagi tahun kewangan 2016 naik sebanyak 9.4 peratus kepada RM73.8 juta berbanding tahun sebelumnya, disokong terutamanya oleh kenaikan 16 peratus dalam pendapatan bersih kepada RM200.3 juta.

- Bernama

Lihat Komen
ADS