Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
IGP nafi waris Jong-nam akan datang dalam masa terdekat

Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menafikan waris mendiang Kim Jong-nam akan tiba di negara ini dalam masa beberapa hari lagi.

Kenyataan Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Noor Rashid Ibrahim telah disalah petik oleh media, jelas Khalid.

"Tidak, tidak benar. Jangan dengar khabar angin, jangan jadi penyebar khabar angin," katanya kepada media di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sebelum berlepas bagi menunaikan umrah.

Kedutaan Korea Utara yang diberitahu oleh polis Malaysia untuk meminta waris Jong-nam datang memberikan sampel DNA untuk proses pengenalan juga masih belum memberi maklum balas kepada polis, kata Khalid.

Semalam, memetik laporan New Straits Times, Noor Rashid dilaporkan berkata, polis menjangkakan waris Jong-nam akan tiba ke Kuala Lumpur dalam masa terdekat bagi membantu mengenal pasti mayatnya.

Jelas Noor Rashid, waris berkenaan itu mungkin seseorang yang tinggal 'tidak jauh' dari Malaysia.

“Setakat ini belum (ada), tapi saya rasa dalam sehari dua ada waris akan datang.

"Ia mungkin seorang kanak-kanak atau waris (yang tinggal berhampiran Malaysia),” katanya.

Mayat Jong-nam ditempatkan di Jabatan Forensik Hospital Kua Lumpur sejak pembunuhannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) pada 13 Februari lalu.

Mengulas lanjut, Khalid berkata, Malaysia memutuskan untuk tidak menghantar wakil ke Macau bagi tujuan itu.

Beliau turut menolak spekulasi Malaysia telah menghubungi kerajaan China dan merancang untuk berbuat demikian.

Ditanya sama ada suspek akan didakwa di Malaysia atau sebaliknya, tambah Khalid, ia terlalu awal untuk dimaklumkan kerana siasatan masih dijalankan.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS