Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
KDN kaji kemungkinan perkenal undang-undang perlakuan anti sosial
Diterbitkan:  Feb 24, 2017 4:01 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Kementerian Dalam Negeri akan mengkaji kemungkinan mewujudkan undang-undang berkaitan perlakuan anti sosial yang antara lain boleh mengawal perlakuan golongan bawah umur di tempat awam.

Timbalan Menteri berkenaan Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata undang-undang sedemikian yang dikenali 'Anti-Social Behaviour Act' (akta perlakuan anti sosial) banyak diguna pakai di negara-negara maju.

"Sebagai contoh, dengan adanya peruntukan seumpama ini mereka yang masih bawah umur tetapi didapati berada di kawasan awam pada waktu tertentu, polis boleh menahan mereka dan menghantar mereka pulang ke rumah masing-masing.

"Sekarang polis tidak mempunyai kuasa tersebut," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Majlis Memperkasakan Veteran Umno Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di Johor Bahru hari ini.

Nur Jazlan berkata ini adalah antara usaha yang dipertimbangkan oleh kementerian bagi mengekang perlakuan delinkuen remaja.

Katanya fenomena itu dilihat semakin membimbangkan di bandar-bandar besar termasuk Johor Bahru disebabkan urbanisasi yang cepat.

Mengenai kejadian yang meragut nyawa lapan remaja berbasikal pada 18 Februari lalu, Nur Jazlan berkata siasatan masih dijalankan.

"Itu satu tragedi yang boleh dielakkan, tapi sekarang dah menjadi isu yang dipesongkan pula. Sepatutnya kita simpati dan takziah kepada keluarga. Lepas ini kita kena pastikan anak-anak bawah umur ini tidak lagi berada di kawasan tersebut," kata beliau.

Berkaitan perhimpunan remaja berbasikal yang diuar-uar berlangsung esok, Nur Jazlan menasihati mereka yang berkenaan agar membatalkan perhimpunan dan memberi tumpuan kepada langkah-langkah untuk mengelakkan tragedi sama berulang.

- Bernama

Lihat Komen
ADS