Paling Popular
Terkini
story images
story images

Pemuda Pakatan Harapan (HARAPAN) Selangor hari ini membuat satu laporan polis terhadap Pengerusi Gabungan NGO Malaysia, Datuk Seri Jamal Md Yunos.

Laporan dibuat Ketua Pemuda PKR (AMK) Selangor, Afzainizam Rahman, di Ibu Pejabat Polis (IPD) Shah Alam kerana mendakwa Jamal menyalahgunakan kenderaan jenazah dan mempersendakan Islam.

Afzainizam berkata laporan tersebut juga dibuat bagi menjunjung tinggi titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, semalam agar kenderaan begitu tidak disalahgunakan bagi tujuan lain selain urusan asal mengendalikan jenazah.

Antara yang hadir membuat laporan polis itu adalah Ketua Pemuda Parti Amanah Negara (AMANAH) Selangor Abbas Salimmi Azmi dan Ketua Pemuda BERSATU Selangor, Adhif Syan Abdullah.

Sementara itu, mengulas lanjut apakah laporan polis yang dibuat hari ini adalah untuk menutup isu sebenar berhubung penyelewengan dana warga emas oleh kerajaan Selangor, Abbas menafikannya.

"Sekarang sudah ada titah tuanku (maka laporan polis dibuat) tetapi jika tuanku tidak bertitah, kita ambil pendekatan lain," kata Abbas yang ditemui di pekarangan IPD Shah Alam, hari ini.

Semalam Sultan Sharafuddin bertitah baginda tidak berkenan kenderaan jenazah di Selangor itu disalah guna bagi tujuan lain selain urusan asal untuk mengendalikan jenazah.

Setiausaha Sulit Sultan Selangor, Datuk Mohd Munir Bani, dalam kenyataannya berkata, ahli jawatankuasa kariah atau jawatankuasa masjid seluruh Selangor diminta supaya menjaga dengan baik kenderaan jenazah di bawah seliaan masing-masing dan tidak menyalahgunakan kenderaan itu.

“Baginda tidak berkenan kenderaan jenazah disalah guna selain daripada urusan membawa jenazah seperti disewa untuk membuat demonstrasi atau kegunaan lain yang tiada kena mengena dengan urusan pengendali jenazah.”

Berarak ke balai polis

Kata Abbas lagi tindakan Jamal itu juga dilihat sebagai ketandusan isu dan mempersoalkan ketua Umno Sungai Besar itu yang tidak menemui Menteri Besar Selangor Datuk Seri Azmin Ali bagi merungkai permasalahan berkenaan.

"Kita lihat Umno ketandusan isu untuk dibawa hentam kerajaan negeri Selangor.

"Isu kegunaan van jenazah bukan untuk politik.

"Jadi kenapa guna van jenazah? Kenapa tak jumpa Azmin minta penjelasan tapi kenapa kaedah pelik digunakan?" soal Abbas.

Terdahulu Pemuda HARAPAN Selangor bersama 60 anak muda berarak dari depan bangunan Majlis Agama Islam Selangor kira-kira jam 3 petang menuju ke IPD Shah Alam bagi membuat laporan polis itu.

Sekumpulan anak muda yang diketuai Afzainizam itu juga turut melaungkan "Daulat Tuanku" disepanjang perjalanan itu.

Jamal minggu lalu membuat gimik baru dengan membawa 15 van jenazah, keranda dan berpakaian seperti penggali kubur di depan pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri Selangor di Shah Alam.

Tampil mempertikaikan beberapa program negeri termasuk skim khairat kematian, pemimpin kumpulan Baju Merah itu bahkan membawa cangkul dan berkata dalam keranda dibawanya terdapat Azmin.

"Anggap sajalah Azmin ada di dalamnya, ya," seloroh Jamal kepada hadirin di depan pintu masuk bangunan pentadbiran itu sebelum mengangkat keranda terbabit dan berucap.

Bagaimanapun, bantahan beliau kali ini mencetuskan sedikit ketegangan apabila dibantah oleh sebuah lagi kumpulan yang tidak mahu beliau “mengganggu” kerajaan negeri.

Lihat Komen
ADS