Paling Popular
Terkini

Tun Dr Mahathir Mohamad membuat kemunculan mengejut di majlis Konvensyen Reformis di Shah Alam hari ini dan disambut dengan sorakan - merai dan mengejek - daripada orang ramai.

Bekas perdana menteri itu tidak tersenarai sebagai tetamu tetapi beliau muncul ketika panel pertama berucap dan untuk seketika menyebabkan ia terhenti seketika.

Orang ramai yang menyedari kemunculan tokoh berusia 91 tahun itu kemudian menjeritkan "Reformasi" dan "Bebas Anwar" selain kecaman "Firaun".

Bagaimanapun moderator berjaya mengawal keadaan tidak lama kemudian. 

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merupakan timbalan perdana menteri ketika beliau dipecat daripada kerajaan dan parti oleh Dr Mahathir pada 1998.  Anwar yang sebelum itu amat rapat dengan Dr Mahathir kemudian telah dipenjarakan atas tuduhan liwat.

Penyingkiran Anwar mencetuskan bantahan massa dan muncul kumpulan yang menyokong reformasi dan mereka menyalahkan Dr Mahathir atas pemecatan bekas anggota parlimen Permatang Pauh itu.

Gerakan reformasi dimulakan Anwar selepas dipecat dan ia kemudian berkembang menjadi kempen mendesak supaya Dr Mahathir meletak jawatan.

Konvensyen di Shah Alam itu dihadiri oleh ramai penyokong gerakan reformasi serta pemimpim pembangkang. 

Sebahagian peserta menyuarakan sentimen anti-Mahathir sebagai respons terhadap ucapan yang menyebut nama pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia itu.

Sebelum itu, semasa memberikan ucapan alu-aluan Pengerusi Reformis Malaysia, Saari Sungib, bekrata mereka hanya akan menerima Dr Mahathir jika bekas perdana menteri itu menyertai kempen membebaskan Anwar.

Satu lagi tuntutan mereka yang dinyatakan Saari ialah Dr Mahathir perlu meminta maaf atas kesilapan yang dilakukan beliau sepanjang tempoh menjadi perdana menteri.

Sementara itu bercakap kepada Malaysiakini, Saari yang juga ADUN Hulu Kelang memberitahu, mereka tidak menjemput Dr Mahathir datang ke konvensyen berkenaan.

Sebaliknya, kata beliau, penyokong kuat Dr Mahathir, Datuk Seri Khairuddin Abu Bakar yang meminta supaya pemimpin BERSATU terbabit diberi ruang di majlis berkenaan.

Permohonan itu dipersetujui, kata Saari, dengan syarat Dr Mahathir menegaskan kepentingan Anwar dalam perjuangan pembangkang mengalahkan BN.

[Baca berita penuh]

Lihat Komen
ADS