Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN l Terdapat banyak reaksi emosi daripada Cuepacs dan PERKASA mengenai kenyataan saya mengenai perkhidmatan awam yang besar.

Mungkin sensitivitinya adalah disebabkan hakikat bahawa perkhidmatan awam terutamanya adalah orang Melayu dan bangsa Melayu yang amat bergantung kepada perkhidmatan awam untuk mendapatkan pekerjaan.

Memperbetulkan saiz perkhidmatan awam melalui skim pemisahan sukarela amat diperlukan. Terdapat pelbagai cara melakukannya dengan berperikemanusiaan dan sikap penyayang.

Pertama, kerajaan boleh melatih semula pekerja berlebihan dengan memberikan mereka kursus percuma dalam pembangunan kemahiran: komputer, bahasa Inggeris, asas perakaunan, undang-undang korporat, dan lain-lain - semua kemahiran yang diperlukan untuk mendapatkan pekerjaan di sektor swasta.

Saya yakin sekali jika pekerja memiliki kemahiran sedemikian, ramai akan meninggalkan perkhidmatan sebaik sahaja mencapai umur persaraan pilihan. Kakitangan kerajaan akan sendiri memisahkan diri.

Apa yang menarik diperhatikan adalah terdapat ribuan penjawat awam, termasuk kedua-dua suami dan isteri berkhidmat dengan kerajaan.

Dalam kebanyakan kes, khususnya di kalangan kategori tahap bawahan, seorang daripada mereka menjalankan perniagaan sambilan seperti menjual kain, tudung, kuih, buku-buku agama, dan lain-lain, untuk mendapatkan pendapatan tambahan.

Mereka mungkin mempunyai cita-cita untuk berniaga tetapi tidak mampu untuk meninggalkan perkhidmatan kerajaan, kerana tidak mempunyai modal.

Bayangkan jika tawaran dibuat untuk pakej pemisahan sukarela dengan menawarkan RM40,000 bagi kakitangan yang telah berkhidmat selama 20 tahun perkhidmatan.

Kemungkinan besar seorang daripada pasangan itu akan mengambil pakej tersebut, manakala seorang lagi akan terus berkhidmat dengan kerajaan sehingga umur persaraan bagi menikmati faedah perubatan untuk seisi keluarga.

Oleh itu, kerajaan sebenarnya membantu isteri atau suami Melayu itu untuk menjadi seorang usahawan tulen kerana mereka mempunyai rekod prestasi.

Skim pemisahan sukarela, seperti yang diamalkan di sektor swasta, tidak boleh dipaksa ke atas mana-mana perkerja kerana adalah salah dari segi undang-undang untuk menamatkan khidmat seorang pekerja yang tidak melakukan sebarang kesalahan dan telah menjadi pekerja yang setia.

Skim ini memberi kesan kepada mereka yang fungsinya tidak lagi diperlukan kerana sistem automatik boleh menggantikan tenaga manusia. Sebagai contoh, dengan teknologi, tidak ada keperluan lagi untuk menghantar surat atau perkhidmatan muka ke muka - iaitu kerja intensif manusia tidak lagi relevan pada abad ke-21 di Malaysia.

Sebagai contoh, di sektor perbankan, tidak ada keperluan untuk pergi ke cawangan untuk menjalankan urus niaga. Sebab itulah bank menutup cawangan dan menamatkan pekerja mereka.

Saya percaya kerajaan juga boleh mengkaji untuk menutup sepenuhnya atau sebahagian pejabat dan cawangan tertentu tanpa menjejaskan kualiti perkhidmatan.

Penjawat awam berlebihan itu boleh digunakan untuk tugasan lain atau dilatih semula untuk menyediakan mereka untuk skim pemisahan.

Pada masa yang sama, apabila kerajaan memperbetulkan saiz penjawat awam yang berlebihan, ia perlu terus merekrut tenaga yang diperlukan untuk kepakaran khusus dalam bidang kewangan, ekonomi, penyelidikan, perubatan, pendidikan, sains, alam sekitar, undang-undang.

Ini perlu digalakkan kerana perkhidmatan awam seharusnya terus meningkatkan kualiti kakitangannya.

Kerajaan seharusnya memberi perhatian lebih kepada kualiti, bukan kuantiti, kerana ini adalah cara untuk meningkatkan produktiviti dan kecekapan dalam perkhidmatan awam.

Kita harus mempunyai perkhidmatan pentadbiran lebih kecil untuk menyokong fungsi kementerian dan jabatan kerajaan. Ini boleh dicapai dengan pengagihan kerja dan pemberian kuasa untuk mengurangkan proses kelulusan pelbagai lapisan.

Banyak kemajuan dicapai dalam tahun-tahun kebelakangan ini untuk meningkatkan perkhidmatan kaunter di beberapa jabatan, dengan penggunaan teknologi dan memudahkan prosedur.

Secara logiknya, perlu ada kurang permintaan untuk tenaga kerja dan kakitangan berlebihan boleh ditawarkan persaraan sukarela dengan pakej pampasan yang menarik.

Jika ia mengambil masa beberapa tahun bagi kerajaan untuk mendapatkan semula perbelanjaan yang besar untuk skim pemisahan, maka ini adalah wajar.

Kita boleh mengharapkan dengan kerajaan yang lebih kecil, ekonomi secara keseluruhan akan menjadi lebih cekap dan dinamik dengan pertumbuhan dalam aktiviti sektor swasta, kerajaan akan mengutip cukai lebih banyak untuk mendapatkan kembali kos skim pemisahan.

Dengan kurangnya perbelanjaan membayar gaji dan pencen sebagai sebahagian daripada bajet, akan wujud lebih ruang dalam perbelanjaan operasi untuk dibelanjakan bagi menaik taraf kemudahan di sekolah-sekolah, universiti, hospital dan jabatan penyelidikan, yang pada hari ini tidak mendapat peruntukan mencukupi untuk memastikan mereka dalam keadaan kerja yang sesuai.

Saya percaya kerajaan perlu merancang program pembetulan saiz perkhidmatan awam sekarang, supaya ini boleh dilakukan dengan cara yang betul, dan bukannya menunggu sehingga ada krisis kewangan, yang kakitangan kerajaan pada masa itu terpaksa diberhentikan tanpa keadilan.

Ini telah berlaku di Greece, seperti yang saya nyatakan sebelum ini.


TAN SRI MOHD SHERIFF MOHD KASSIM, adalah bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan dan adalah ahli G25 - Kumpulan Melayu Eminent.

Pandangan yang dinyatakan di sini adalah pendapat penulis yang tidak semestinya mewakili pandangan Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS