Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita

Polis menafikan anggotanya mencederakan seorang penunggang motosikal remaja, yang dakwa bapanya diserang ketika sekatan jalan.

Timbalan Ketua Polis Daerah Shah Alam Nek Zaidi Zakaria berkata, polis menjumpai remaja itu - Mikail Quay yang berusia 16 tahun - selepas dia terjatuh dari motosikalnya.

“Kita jumpa dia, lepas tu kita panggil ambulans.

“Kita tak suruh dia tolak motor, dia yang tolak sendiri,” kata Nek Zaidi kepada Malaysiakini.

Beliau berkata, kejadian berlaku ketika polis mahu bersurai selepas menjalankan sekatan jalan yang mensasarkan Mat Rempit, pada 18 Februari lalu.

Mikail - yang tidak mempunyai lesen - didakwa cuba mengelakkan sekatan jalan itu ketika dia menerima pukulan di kepala.

Ahli Parlimen Klang, Charles Santiago, yang membantu bapa Mikail membuat laporan polis berhubung perkara itu, berkata, remaja berkenaan mendakwa seorang anggota polis memukulnya.

"Dia dipukul dengan cotar yang dihalakan terus ke dahi," kata Charles ketika dihubungi.

Ahli parlimen DAP itu yang melawat remaja berkenaan ketika dia dirawat di hospital, berkata terdapat kesan lebam biru-hitam di mangsa.

Bapa budak itu berkata Mikail pada masa itu, mengalami masalah penglihatan berganda serta kecederaan serius di tengkorak.

"Bagaimanapun bapanya kemudian memaklumkan bahawa penglihatan anaknya bertambah baik, dan dia dibenarkan keluar dari hospital (pada 24 Februari lalu)," kata Charles.

Bagaimanapun, Nek Zaidi berkata Mikail memberikan maklumat yang berbeza berhubung kejadian apabila polis merakamkan kenyataannya.

"Kami tanya jika dia melihat jika ada yang memukulnya, dan dia jawab tidak," kata Nek Zaidi.

Beliau juga berkata laporan awal doktor tidak menunjukkan bahawa Mikail mengalami sebarang kecederaan serius kecuali lebam di sebelah kanan kepala.

Namun begitu, beliau berkata polis sedang menyiasat perkara itu di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan.

[Baca berita penuh]

 

Lihat Komen
ADS