Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images

ULASAN l Apa tanda sesebuah negara itu menjadi semakin miskin? Antara tandanya adalah apabila sesebuah negara itu mula menjual satu persatu aset, kepentingan bahkan wilayahnya kepada pihak luar.

Belum pun habis cerita mengenai sebuah wilayah di Selatan Semenanjung Malaysia yang sedang dijual secara besar-besaran kepada warga China, kita didatangkan pula dengan cerita penjualan saham Proton kepada syarikat luar.

Sekiranya berlaku tanpa disoal atau dihalang oleh rakyat Malaysia, maka penjualan unit-unit rumah di Forest City, Johor kelak akan jadi satu proses kemasukkan warga asing yang paling ramai di dalam sejarah Malaysia.

Jumlahnya yang boleh diukur dengan nisbah rumah yang sedang dijual adalah jauh lebih ramai berbanding ketika penjajah British membawa masuk pekerja lombang dari China di era sebelum merdeka dahulu.

Semua negara yang merdeka mahu menjaga kedaulatan dan maruah mereka. Hal ini adalah lumrah. Melakukan sesuatu yang akhirnya mencalar maruah negara dan bangsa itulah yang turut dikhuatiri oleh warga United Kingdom ketika membuat keputusan keluar daripada Kesatuan Eropah.

Sama jugalah ketika pengundi di Amerika Syarikat tempohari memenangkan Donald Trump yang berjanji menjaga kepentingan rakyatnya lebih daripada apa-apa idelogi politik sekalipun.

Negara ibarat rumah

Sesebuah negara adalah ibarat sebuah rumah. Tentulah tidak masuk akal untuk seseorang tuan rumah itu menginzinkan sesiapa pun masuk ke rumahnya. Keadaan ini berlaku hanya apabila tuan rumah itu semakin terdesak untuk mendapatkan wang sehingga perlu menyewa dan ‘menjual’ terus salah satu bilik di dalam rumah berkenaan kepada orang asing.

Kita tidak akan melihat ada orang kaya yang mahu menyewakan mana-mana bilik dalam rumahnya, lebih-lebih lagi apabila dia tidak tahu baik-jahatnya orang asing itu. Menjaga kesejahteraan anak-bini dan keluarga adalah tanggungjawab paling tinggi bagi seseorang ketua keluarga.

Hasrat menjual saham dan kepentingan syarikat pengeluar kereta nasional, Proton kepada syarikat luar tidak lain adalah satu daripada tindakan terdesak dan jalan mudah untuk keluar dari masalah.

Kita akui, Proton pernah berada dalam keadaan merosot selepas beberapa modelnya gagal atau tidak dapat sambutan di pasaran. Barang diingat, hampir semua syarikat pengeluar kereta pernah mengalami keadaan itu. Tidak kiralah sama ada syarikat berkenaan dari Eropah, Amerika Syarikat, Korea Selatan mahupun Jepun sekalipun.

Jenama kereta seperti Volkswagen yang beberapa tahun lalu berminat membeli saham Proton juga dahulunya pernah tidak mengeluarkan model baharu untuk tempoh yang lama. Volkswagen adalah syarikat kereta Jerman yang ditubuhkan dua tahun menjelang Perang Dunia Ke-2 dan jauh lebih berpengalaman dalam pengeluaran kereta di era perang.

3 model Proton

Tahun lalu sahaja Proton melancarkan tiga modelnya. Pelancaran tiga model baharu dalam tempoh setahun adalah petanda positif pemulihan Proton. Model seperti Suprima S, Iriz, Persona dan Saga kini mulai dapat sambutan hangat dan mulai kembali merayap memenuhi jalan raya di negara ini.

Tidak ada lagi rungutan bahawa kereta Proton ada masalah tingkap automatik. Bahkan beberapa ciri “kereta pintar” daripada lampu LED, lampu dan wiper automatik mula dipasang di dalam model-model terkini Proton sebagai usaha mengembalikan keyakinan pengguna dan mengukuhkan jenamanya di pasaran.

Bagi model Suprima S yang diperkenalkan pada 2013, pada tahun itu juga sudah diperkenalkan lampu LED untuk siang hari, jauh sebelum banyak model lain mempunyai lampu sebegitu. Salut dan tabik hormat kita kepada jurutera-jurutera Proton yang berkerja keras memperkukuh model-model Proton!

Usaha keras Proton ini tentu akan sekali lagi terganggu apabila ada keputusan untuk menjual majoriti saham Proton kepada pihak asing. Keputusan perniagaan tersebut bukan sahaja akan menjejaskan semangat kakitangan Proton, tetapi dalam waktu sama Malaysia bakal kehilangan satu-satunya syarikat kereta yang pernah menjadi kebanggaan nasional.

Alasan Proton rugi bukanlah segala-galanya. Di sebalik jaya atau gagalnya Proton, apa yang tidak disedari ialah syarikat kereta nasional itu telah melatih sangat ramai jurutera dan pakar dalam bidang industri berat seperti automobil.

Peluang membuat kereta sendiri tidak pernah wujud dalam bangsa ini sehinggalah di era PM ke-4, Dr Mahathir Muhamad membuat keputusan menubuhkan Proton.

Usaja menjual Proton

Kehendak untuk menjual Proton sudah timbul sejak beberapa tahun lalu, namun menerima tentangan keras oleh Dr Mahathir sendiri. Pada 2011, beliau menasihatkan Khazanah sebagai salah satu pihak pemegang saham Proton agar tidak menjual sahamnya.

Ketika itu pun sudah ada beberapa syarikat asing yang berminat untuk membeli dan menguasai saham Proton. Mungkin dari sana juga, usaha pemulihan Proton yang dikepalai oleh Dr Mahathir sendiri sudah dimulakan sebelum beliau terpaksa melepas jawatan sebagai penasihat apabila beliau tidak lagi seiring dengan PM Datuk Seri Najib Razak.

Pergantungan Proton kepada dana kerajaan juga boleh dikurangkan asalkan pihak kerajaan tidak mencapuri urusan Proton. Sesebuah kerajaan bukan malaikat yang tahu segala-galanya. Apa yang lebih penting ialah kita terus berkeyakinan kepada profesional anak watan untuk mengeluarkan model lebih menawan dan berkualiti termasuklah penerokaan teknologi baru.

Sekalipun Proton dikatakan rugi dalam tempoh beberapa tahun, namun sekurang-kurangnya hari ini negara masih mempunyai Proton dan berpeluang lagi membaikinya. Kalaulah negara sudah terlepas Proton, kita akan terpaksa membayar harga yang tinggi kelak untuk menebusnya semula.

Malah, harga model-model Proton di pasaran tempatan juga akan ditentukan oleh pihak asing yang menguasai Proton kelak – sedangkan antara matlamat Proton adalah untuk menyediakan kereta mampu milik kepada rakyat negara ini terlebih dahulu.

Saya menduga, kalaupun kerugian Proton dikumpulkan kesemuanya dalam satu buku kira-kira, kerugian itu tidak akan melebihi kerugian yang akan dialami negara apabila Malaysia kehilangan wilayah seperti Pulau Batu Putih akibat kecuaian pemerintah sendiri.

Kerugian yang sewajarnya dilihat sebagai satu bentuk pelaburan itu juga tidak akan melampaui daripada ‘keuntungan’ yang kononnya akan dikaut daripada penjualan janakuasa eletrik, Forest City, Bandar Malaysia dan banyak lagi projek-projek yang dikhabarkan terus diintai orang asing.

Selamatkan Malaysia

Seperti Proton, Malaysia ini juga perlu diselamatkan. Ketika orang asing yakin mengenai harta kekayaan yang diwariskan oleh pejuang-pejuang terdahulu boleh membuat keuntungan di masa depan, aneh sekali apabila pemimpin hari ini membiarkan ianya terjual hanya kerana mahu menutup kelemahan mereka sendiri.

Apabila semua itu terlepas kelak, di saat itu kalau pun projek-projek berkenaan berjaya mencatat keuntungan, namun sudah tiada ertinya kerana semua itu bukanlah milik kita lagi.


HASMI HASHIM atau Budi Hekayat seorang penulis lirik dan otai Jalan Telawi. Artikel ini ialah pendirian penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi sidang redaksi Malaysiakini.

Lihat Komen
ADS