Paling Popular
Terkini
story images
story images
mk-logo
Berita

Dua laporan polis dibuat di Pulau Pinang ke atas dua individu berprofil tinggi.

Mendedahkan perkara itu, Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang II, P Ramasamy, melalui sidang media semalam.

Katanya, laporan itu berkaitan dakwaan salah guna kuasa membabitkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Abdul Rahman Dahlan.

Abdul Rahman ketika itu berkhidmat sebagai menteri di Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

Individu kedua yang dilaporkan kepada polis, kata Ramasamy, ialah isteri peguam negara, Puan Sri Faridah Begum KA Abdul Kader.

Kata Ramasamy, tuduhan ke atas Faridah pula adalah berkaitan tindakannya didakwa secara salah memberikan gambaran bahawa beliau adalah pengarah BHL Group of Companies (BHL).

Justeru Ramasamy bertanya jika Peguam Negara Tan Sri Mohamed Apandi Ali bersedia untuk memulakan proses dakwaan terhadap mereka yang terlibat jika dakwaan itu benar.

"Adakah Peguam Negara akan mendakwa lembaga pengarah BHL jika beliau mendapati bahawa mereka telah mengelirukan menteri?" soal Ramasamy.

Malaysiakini tidak dapat menentukan kesahihan dakwaan itu secara bebas, dan sudah menghubungi Faridah, Apandi, Abdul Rahman dan syarikat BHL untuk mendapatkan komen mereka.

Bagaimanapun setakat ini ia belum berhasil.

Malaysiakini menghubungi Abdul Rahman dan Apandi melalui telefon dan mesej teks.

Bukan pengarah ketika itu

Sementara itu Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Chuah Ghee Lye, mengesahkan menerima laporan berkenaan.

Pada blog pemimpin veteran DAP dua hari lalu, Lim Kit Siang, menjejak perkembangan kes itu yang membawa kepada dakwaan berkenaan.

Katanya, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur telah mengetepikan arahan bekas menteri perumahan itu dengan mengambil kira lanjutan 12 bulan diberi kepada BHL bagi menyiapkan projek kondominium di Jalan Kuchai Lama, Kuala Lumpur.

Hakim Hanipah Farikullah membenarkan semakan kehakiman oleh 104 pembeli kondominium terbabit dan berkata keputusan menteri untuk mengawal selia projek berkenaan adalah ultra vires (melebihi bidang kuasa yang ada) mengikut Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan).

Pembeli kondominium itu memfailkan semakan kehakiman kerana BHL didakwa gagal menyerahkan pemilikan kosong harta tanah mereka dalam tempoh yang ditetapkan - iaitu 36 bulan - dari tarikh majlis menandatangani perjanjian jual beli.

Pada mulanya, BHL menulis kepada pengawal perumahan di bawah kementerian itu untuk tempoh lanjutan tetapi rayuan itu ditolak.

Berikutan itu, satu rayuan telah dihantar kepada Abdul Rahman yang membenarkan lanjutan 12 bulan untuk BHL pada 17 November 2015.

Ramasamy berkata Faridah telah menulis surat rayuan itu atas kapasiti beliau sebagai pengarah BHL Group of Companies.

Bagaimanapun, Lim dalam blognya mendakwa, semakan dengan Pendaftar Syarikat menunjukkan Faridah bukanlah pengarah firma itu pada waktu berkenaan.

Mengenai keputusan mahkamah, Abdul Rahman berkata beliau akan membiarkan kementerian terbabit memberikan tindak balas terlebih dulu kerana ia melibatkan perkara dasar.

[Baca berita asal]

Lihat Komen
ADS