BNM kekalkan OPR pada 3.0 peratus

   

Mesyuarat Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC) Bank Negara Malaysia (BNM) hari ini memutuskan untuk mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 3.00 peratus.

Bank pusat dalam satu kenyataan hari ini berkata aktiviti ekonomi di negara maju dan negara sedang pesat membangun terus bertambah baik dengan perdagangan global juga menunjukkan pemulihan.

"Dalam persekitaran ini, ekonomi Asia telah mendapat manfaat daripada permintaan luaran yang lebih kukuh dalam keadaan kegiatan ekonomi dalam negeri yang mampan.

"Bagi 2017, ekonomi global diunjurkan berkembang pada kadar yang pantas sedikit.

"Namun, masih terdapat risiko kepada pertumbuhan global yang berpunca daripada ancaman seperti perlindungan perdagangan, perkembangan geopolitik, turun naik pasaran kewangan yang lebih ketara dan perkembangan negatif dalam harga komoditi utama," kata BNM.

Dengan pertumbuhan permintaan dalam negeri yang mampan, sumbangan sektor luaran yang lebih positif akan menjadikan prestasi ekonomi Malaysia lebih baik, kata bank pusat.

Sementara itu, BNM berkata, ringgit terus stabil bersama-sama mata wang pasaran sedang pesat membangun lain apabila pelaksanaan langkah pembangunan pasaran kewangan telah memberikan kesan positif kepada pasaran kewangan domestik.

"Mudah tunai sistem perbankan kekal mencukupi. Institusi kewangan terus beroperasi dengan penampan modal dan mudah tunai yang kukuh serta pertumbuhan pembiayaan kepada sektor swasta adalah selaras dengan kadar pertumbuhan aktiviti ekonomi," kata bank pusat.

Inflasi keseluruhan diunjurkan lebih tinggi pada 2017, mencerminkan terutamanya kesan pindahan kenaikan harga minyak global ke atas harga bahan api runcit dalam negeri.

Ia dijangka secara relatif kekal tinggi pada separuh pertama tahun ini sebelum menurun semula, kata BNM.

- Bernama
 

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda