Forbes: Harta hartawan M'sia meningkat walaupun ekonomi sukar

       

Lebih daripada separuh hartawan dalam Senarai Orang Kaya Forbes Malaysia 2017 tidak terjejas, malah menyaksikan keuntungan mereka meningkat walaupun keadaan ekonomi yang sukar.

Tan Sri Robert Kuok terus mengungguli kedudukan teratas dalam senarai buat tahun ke-12 berturut-turut, dengan nilai bersih US$11.4 bilion (US$1=RM4.44), meningkat daripada US$10 bilion sebelumnya.

Kuok, 93, mengawal empayar Kumpulan Kuok yang merangkumi sektor minyak sawit, perkapalan dan hartanah.

Tan Sri Quek Leng Chan, pengerusi konglomerat milik persendirian Hong Leong Co (Malaysia), naik satu anak tangga kepada tempat kedua dengan nilai bersih US $6.8 bilion berbanding US$5.3 bilion tahun lepas.

Quek mengambil alih tempat Tan Sri Ananda Krishnan, yang jatuh ke tempat ketiga tahun ini ekoran kekayaannya merosot 12.2 peratus kepada US$6.5 bilion berikutan ketidaktentuan dalam firma telekom India yang mengalami hutang, Aircel.

Walaupun nasib hartawan perjudian Tan Sri Lim Kok Thay (nombor enam, US$4.45 bilion) merosot sedikit, terutama disebabkan oleh nilai ringgit yang menyusut, harga saham Genting Bhd meningkat sejak November 2016.

Genting Malaysia dijangkakan melancarkan lebih banyak projek tahun ini, termasuk pelancaran taman tema yang berinspirasikan filem yang dinanti-nantikan, 20th Century Fox - pertama di dunia di Resorts World Genting, tidak jauh dari Kuala Lumpur

Harwatan perjudian dan pemaju hartanah Tan Sri Dr Chen Lip Keong pula mencatat peratusan kekayaan terbesar dalam senarai tahun ini, menduduki tempat ke-11 dengan kekayaan bernilai US$1.6 bilion
    
Kekayaannya meningkat 158 ​​peratus, meletakkan beliau kembali pada ranking bilionair dengan kasino Kemboja yang semakin berkembang sedang melaksanakan dengan lebih banyak pautan dengan sektor pelancongan China.

Seorang lagi hartawan yang mencatat keuntungan ketara ialah Tan Sri Syed Azman Syed Ibrahim (tempat ke-26/US$600 juta), dengan nilai harta melonjak 145 peratus dengan hasil pengukuhan harga minyak memberi manfaat kepada perniagaan penyewaan helikopternya yang menjalankan perkhidmatan untuk sektor minyak dan gas.
    
Tan Sri David Kong Hon Kong yang menginovasikan perkhidmatan pengebumian, (tempat ke-24, US$700 juta), naik 10 tempat berbanding senarai tahun lepas, selepas menjadikan syarikat itu sebagai syarikat persendirian dalam urus niaga yang melibatkan US$1.1 bilion.

Hartawan hartanah Tan Sri Desmond Lim Siew Choon (ke-16, US$1 bilion) menyertai ranking bilionair buat kali pertama dengan peningkatan 10.5 peratus dalam nilai aset bersihya.

Wajah Pengasas Bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Catcha Group Patrick Grove (ke-35, $​​US400 juta) dipaparkan di muka depan terbitan terbaharu Forbes Asia.

Grove, yang menggunakan slogan 'Disrupting Things Daily' sudah bersedia untuk menggegarkan industri langganan video atas permintaan menerusi permulaan dua tahun, Iflix.

Antara pendatang baharu dalam senarai tahun ini ialah adik-beradik Koon Poh Ming dan Datuk Koon Poh Keong (13, US$1.05 bilion), dua pemegang saham terbesar Press Metal, pengeluar aluminium bersepadu terbesar di Asia Tenggara.

Saham syarikat melonjak hampir 2.5 kali pada tahun lepas, menyumbang modal pasaran sebanyak US$2 bilion.

Hartawan Wong Thean Soon (ke-39, US$ 330 juta), juga menyertai senarai baharu hasil daripada penyenaraian syarikat perkhidmatan elektronik beliau, My E.G. Services.

Wong melancarkan syarikat itu pada 2000 untuk meningkatkan interaksi antara rakyat Malaysia dan kerajaan dalam bidang seperti imigresen, pelesenan, utiliti dan pembayaran cukai.

Sementara itu, Datuk Loh Kian Chong (ke-50, US$210 juta), dengan konglomeratnya mempunyai kepentingan dalam kenderaan bermotor dan minyak sawit, mengalami kerugian terbesar dalam segi peratusan dalam senarai tahun ini.

Nilai bersihnya jatuh 24 peratus, hampir menyingkirkannya daripada senarai Forbes.

Dua yang terkeluar daripada senarai tahun ini ialah harwatan minyak sawit Datuk Freddy Lim Nyuk Sang dan pembuat kondom Goh Siang.

Tahun ini, satu-satunya wanita yang menduduki senarai Forbes ialah Pengasas Bersama Selangor Properties, Puan Sri Chong Chook Yew, di tempat ke-43, dengan nilai bersih US$285 juta.

Kekayaan minimum untuk melayakkan seseorang dalam senarai tahun ini ialah sebanyak US$ 210 juta, meningkat berbanding US$ 195 juta.

Senarai ini disusun menggunakan maklumat yang diperoleh daripada individu, bursa saham, penganalisis, pangkalan data persendirian, agensi kerajaan dan sumber-sumber lain.

Nilai bersih adalah berdasarkan harga saham dan kadar tukaran pada penutupan pasaran pada 17 Februari.

Syarikat swasta dinilai menggunakan nisbah kewangan dan perbandingan lain dengan syarikat dagangan awam yang serupa.

Senarai penuh hartawan paling kaya ini boleh didapati di www.forbes.com/malaysia, serta dalam terbitan terbaru Forbes Asia, yang berada di pasaran.

- Bernama

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda