Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
LZS sasar RM700 juta kutipan, RM670 juta agihan zakat

Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyasarkan kutipan zakat RM700 juta tahun ini, berbanding RM673.7 juta pada tahun lepas.

Pengerusi Majlis Agama Islam Selangor (Mais) Datuk Mohamad Adzib Mohd Isa berkata sasaran itu diambil kira berdasarkan faktor peningkatan kesedaran masyarakat dalam menunaikan zakat setiap tahun.

"Kami yakin sasaran itu dapat dicapai ekoran pada tahun lepas, jumlah kutipan zakat melebihi sasaran iaitu RM673.7 juta berbanding tempoh yang sama pada tahun sebelumnya (2015) dengan hanya RM627.2 juta," katanya pada sidang media di Shah Alam, hari ini.

Beliau berkata daripada jumlah kutipan zakat pada tahun lepas, RM651.5 juta adalah daripada zakat harta, sementara RM22.2 juta menerusi zakat fitrah.

Mohamad Adzib berkata jumlah pengeluar zakat harta bagi 2016 turut meningkat 4.5 peratus, iaitu seramai 267,431 orang berbanding 256,001 orang pada 2015.

"Daripada jumlah itu (pengeluar zakat pada 2016), 40,879 orang merupakan pembayar baharu zakat harta di LZS," katanya.

Selain itu, beliau berkata untuk tahun ini, LZS turut menyasarkan agihan wang zakat RM670 juta kepada golongan yang layak termasuk fakir dan miskin.

Beliau berkata pada tahun lepas, LZS mengagihkan wang zakat RM697.5 juta iaitu peningkatan 3.2 peratus daripada RM676 juta pada tahun sebelumnya.

Bagi asnaf fakir, katanya mereka yang layak menerima bantuan pada tahun lepas ialah 13,522 keluarga manakala bagi asnaf miskin 32,978 keluarga, dengan jumlah keseluruhan penerima zakat asnaf adalah 46,500 keluarga. -Bernama

Lihat Komen
ADS