Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Konflik Korea Utara: Umat Islam diseru solat hajat
Diterbitkan:  Mar 9, 2017 6:33 AM
Dikemaskini: 10:38 PM

Umat Islam di seluruh negara diseru menunaikan solat hajat pada Jumaat ini bagi memohon perlindungan dan keselamatan berhubung ketegangan hubungan diplomatik antara Malaysia dan Korea Utara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom menyeru seluruh rakyat Malaysia supaya turut mendoakan agar dikurniakan keselamatan dan kesejahteraan serta perlindungan kepada 11 rakyat Malaysia di Korea Utara.

"Saya meminta semua masjid dan surau di seluruh negara mengadakan solat hajat selepas solat Jumaat bermula 10 Mac ini dan berterusan sehingga kemelut ini selesai," katanya dalam satu kenyataan semalam.

Jamil Khir turut mengharapkan agar konflik itu dapat diselesaikan dengan baik dan rakyat Malaysia di Korea Utara dapat kembali ke tanah air dengan selamat.

"Semoga usaha murni ini diberkati dan dirahmati Ilahi," katanya.

Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean berkata perbezaan pendapat di antara Malaysia dan Korea Utara perlu dibincangkan dan diselesaikan tanpa mengambil langkah-langkah ekstrem.

Beliau mengulas perbalahan di antara Kuala Lumpur dan Pyongyang berikutan pembunuhan Kim Jong-nam, abang pemimpin Korea Utara Kim Jong-un, tiga minggu lepas, lapor Channel NewsAsia semalam.

"Kami memantau rapat perkembangan di sana dengan amat teliti, bukan sahaja di antara Korea Utara dan Malaysia tetapi juga Korea Utara yang begitu aktif melancarkan peluru berpandunya beberapa hari lepas," kata Teo kepada media Singapura itu di Jakarta.

"Saya berpendapat kita perlu menggalakkan Korea Utara supaya bersikap lebih sederhana dalam tindakan yang diambilnya untuk cuba memelihara keamanan dan kestabilan serta keselamatan di rantau kita," kata Teo, yang juga menteri penyelaras keselamatan nasional Singapura.

Teo berada di ibu negara Indonesia itu bagi menghadiri Sidang Kemuncak Pemimpin Persatuan Negara-Negara Pesisir Lautan Hindi (IORA) yang berakhir semalam, lapor Channel NewsAsia.

Hubungan diplomatik di antara Malaysia dan Korea Utara mula terjalin pada 30 Jun 1973 dan terpelihara dengan baik selama lebih empat dekad sebelum berlakunya pembunuhan Jong-nam, yang hidup terasing daripada adiknya itu.

Malaysia membuka kedutaannya di Pyongyang pada 28 Februari 2004 dan merupakan negara pertama yang rakyatnya dibenarkan melawat Korea Utara tanpa visa.

- Bernama
 

Lihat Komen
ADS