Gaji dan elauan Datuk Sothinathan ditarik balik
Segala keistimewaan termasuk gaji dan elaun yang dinikmati Datuk S. Sothinathan sebagai Timbalan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar ditarik balik berikutan penggantungannya daripada jawatan itu selama tiga bulan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Samsudin Osman berkata ia berkuatkuasa 22 Jun lalu pada hari kabinet menggantung jawatan Sothinathan kerana mengkritik kerajaan di Dewan Rakyat berhubung isu penarikan pengiktirafan ijazah perubatan Crimea State Medical University (CSMU) di Ukraine.

"Keistimewaannya dilucutkan dalam segala hal. Dia tidak ada gaji dan elaun langsung.
"Dia akan menerima balik keistimewaan itu setelah menjawat kembali jawatan tersebut," katanya kepada pemberita selepas melancarkan `Putrajaya Half Marathon 2005' di Putrajaya.
Samsudin berkata keputusan itu dibuat selepas kerajaan mendapatkan nasihat daripada Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail.
Menurut laporan Bernama, beliau berkata, Sothinathan telah dimaklumkan mengenai penarikan balik keistimewaan itu yang dinikmatinya sebelum ini.
Akhbar sebelum ini melaporkan Sothinathan menerima gaji pokok sebanyak RM10,847.45 sebulan dan pelbagai elaun termasuk elaun perumahan, pembantu rumah, telefon dan keraian.
Sothinathan yang juga Setiausaha Agung MIC digantung kerana melanggar etika sebagai anggota pentadbiran ketika di Parlimen.