Mufti: Kebodohan 'Raja Bomoh' tiada tebingnya

   

Mufti Perlis hari ini mengkritik keras aksi terbaru 'Raja Bomoh' Ibrahim Mat Zin yang 'memagar' Malaysia daripada ancaman negara asing, khususnya Korea Utara.

Sambil menyifatkan langkah itu sebagai khurafat dan memalukan akal, Datuk Dr Asri Zainul Abidin juga menegur langkah itu “dijadikan berita rakyat”.

“Padahal perbuatannya itu merupakan kebodohan yang tiada bertebing,” katanya.

Di tengah-tengah ketegangan hubungan Malaysia-Korea Utara, Ibrahim pada Ahad lalu mengadakan upacara untuk “melindungi” Malaysia di tepi pantai.

Beliau dan pengikutnya kali ini menggunakan buluh kecil yang dijadikan teropong, dua biji kelapa dan lima meriam buluh untuk upacara itu.

Menulis di Facebook, Asri juga berkata Ibrahim membaca ayat dan doa dengan cara yang salah.

“Jika itulah dianggap 'raja bomoh', apakah kadar kebodohan pada bomoh yang bukan raja?” katanya.

Asri juga menegaskan Islam menentang kebodohan tanpa mengira siapa yang melakukannya, sekalipun pihak yang bergelar ustaz atau kiyai.

Timbalan Mufti Perak Zamri Hashim hari ini turut dilapor menegaskan upacara pembomohan itu telah diwartakan haram bawah Enakmen Pentadbiran Agama Islam (Perak) 2004.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda