Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
story images
story images
mk-logo
Berita
'Bergantung pada Nazri sebab PM selalu mengelak'

Nurul Izzah Anwar berkata pembangkang kini bergantung kepada Datuk Seri Nazri Aziz untuk menjawab isu berkaitan 1MDB dan dana RM2.6 bilion yang dimasukkan ke akaun peribadi perdana menteri.

Ini, kata anggota parlimen Lembah Pantai, memandangkan Datuk Seri Najib Abdul Razak sering mengelak menjawab dua isu itu.

“Saya jumpa Nazri semalam dan kita mahu wacana dikembangkan kerana kita lihat perdana menteri selalu mahu mengelak dari menghadiri sesi debat.

“(Oleh) kerana beliau (Najib) gagal menghadirkan diri, terpaksalah kita bergantung kepada menteri-menteri dalam kabinet perdana menteri,” katanya kepada pemberita di lobi parlimen hari ini.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad dan Nazri dijadual berdebat pada akhir bulan ini di kawasan diwakili Nazri, menteri pelancongan dan kebudayaan, di Padang Rengas, Perak.

Ia dianggap kubu kuat Nazri selepas beliau mewakili kawasan berkenaan sejak pilihan raya umum kesembilan pada 1995.

Perang mulut antara Nazri dan Dr Mahathir semakin panas selepas bekas perdana menteri selama 22 tahun itu menjadi pengkritik keras kerajaan dan akhirnya menubuhkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

Dr Mahathir kini adalah pengerusi BERSATU.

Beliau sebelum ini mencabar Nazri berdebat mengenai isu 1MDB, skandal Bumiputera Malaysia Finance (BMF) yang berlaku di bawah pentadbirannya dan dana RM2.6 bilion.

Nazri menerima cabaran berkenaan tanpa sebarang syarat.

Sementara itu, Nurul Izzah turut diminta mengulas mengenai cadangan Dr Mahathir yang menasihati pembangkang yang tidak bergaduh sesama parti komponen sekiranya mahu menang dalam pilihan raya umum ke-14 (PRU14).

"Ia sudah disebut dalam komentar presiden (PKR). Kita akan adakan perbincangan dan alhamdulillah pertemuan baik dengan semua parti dan kita mahukan pembangkang dapat bersatu dalam menentang BN.

"Saya optimis sebab populariti Najib kini jatuh sehingga 20 peratus,” katanya.

Semalam Dr Mahathir 'memuji' kaedah BN dalam mengekalkan kekuatan gabungannya dalam mendepani PRU.

Kata Dr Mahathir, BN mempunyai 13 buah parti komponen yang mewakili pelbagai kaum dan agama, namun tidak ada perpecahan dan segala perbezaan diketepikan.

Perdana menteri keempat itu berkata keadaan itu berbeza dengan pembangkang yang tidak pernah bersatu dengan serius sebaliknya lebih suka menonjolkan parti masing-masing.

Lihat Komen
ADS