Paling Popular
Terkini
Lagi berita seperti ini
mk-logo
Berita
Chong: Cara serangan PAS pada DAP macam Umno
Diterbitkan:  Mar 17, 2017 3:45 PM
Dikemaskini: Mar 19, 2017 6:22 AM

Walaupun dikecam teruk, Anggota Parlimen Bandar Kuching, Chong Chieng Jen, hari ini mengulangi gesaannya: Hentikan menghantar guru Pendidikan Islam dari semenanjung ke Sarawak.

"Untuk kali ketiga, saya menyeru kerajaan BN berhenti mengimport 433 guru Pendidikan Islam ini ke Sarawak," katanya melalui kenyataan media hari ini.

Bagaimanapun, Chong berkata, kenyataan itu bukan bermakna DAP bersikap anti-Islam sebaliknya dibuat berdasarkan beberapa faktor.

Kata pengerusi DAP Sarawak itu, cara pemikiran orang Islam di negeri berkenaan berbeza dengan di semenanjung dan kemasukan guru terbabit akhirnya akan melemahkan keharmonian penduduk di situ.

"Saya menyatakan pendapat berkenaan berdasarkan perbezaan cara hidup, falsafah dan budaya antara Muslim Malaysia Barat dan Sarawak," katanya.

Chong juga memberikan beberapa contoh bagi menyokong hujahnya yang dinyatakan di Dewan Rakyat kelmarin:

  • Muslim Sarawak boleh menikmati hidangan bersama dengan orang bukan Islam di meja sama dengan orang Islam mengambil makanan halal, manakala bukan Islam bolah memakan hidangan tidak halal
  • Ketika sebahagian Muslim di semenanjung - terutama penyokong Umno dan PAS - membantah salib pada bangunan, di Sarawak bangunan gereja boleh dibina bersebelahan masjid
  • Orang Kristian boleh menggunakan kalimah Allah tetapi ia tidak dibenarkan di semenanjung
  • Berus bulu babi menjadi isu besar di semenanjung tetapi tidak di Sarawak

Oleh sebab itu, kata Chong, kedatangan guru Pendidikan Islam semenanjung ke Sarawak, tidak dapat tidak, akan membawa bersama pandangan dan cara hidup mereka ke negeri berkenaan.

"Ia kemudian akan mula mempengaruhi generasi muda Muslim Sarawak untuk berfikir macam mereka," katanya.

Jangan cemar pemikiran

Sebenarnya, kata Chong, di Sarawak ada ramai Muslim tempatan yang layak menjadi guru Pendidikan Islam di sekolah negeri berkenaan.

"Apabila Jabatan Agama Islam Sarawak (JAIS) mengiklankan kekosongan dua jawatan guru pada Januari 2017, mereka menerima lebih daripada 4,400 permohonan.

"Daripada mengambil dan melatih Muslim tempatan, Kementerian Pendidikan memilih mengambil 433 guru dari semenanjung dan dihantar ke Sarawak," katanya.

Semalam dua pemimpin PAS menempelak Chong sebagai biadab dan menampakkan sikapnya yang anti-Islam.

Ketua Penerangan Dewan Pemuda PAS, Ahmad Fadhli Shaari(gambar), berkata kenyataan Chong itu menunjukkan DAP “semakin ketara menonjolkan permusuhannya kepada Islam”.

“Alasan atau hujah direka-reka telah ketinggalan zaman dan umpama katak di bawah tempurung,” katanya.

Kecaman turut dibuat PAS Selangor melalui setiausahanya, Mohd Khairuddin Othman.

Menurut Khairuddin, kenyataan Chong semasa berbahas di Dewan Rakyat kelmarin jelas menunjukkan pendirian DAP dan sekutunya yang antiguru Islam di negara ini.

Katanya, jika DAP diberi peluang menguasai Putrajaya selepas pilihan raya umum nanti, perbalahan agama boleh tercetus.

Semasa membahaskan titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Chong membantah tindakan kerajaan menghantar guru Pendidikan Islam dari Semenanjung Malaysia ke Sarawak.

Satu rakaman video menunjukkan Chong berbahas dengan berkata: "Amatlah tidak sesuai untuk kerajaan menghantar guru-guru pendidikan Islam dari Semenanjung ke Sarawak.

"Janganlah mencemarkan pemikiran anak muda generasi baru Sawarak, janganlah membawa falsafah dan pemikiran yang sempit atas agama ini dari Semenanjung ke Sarawak. Biarlah kita mengekalkan keharmonoian antara kaum di Sarawak".

Chong hari ini berkata PAS sekali lagi menunjukkan kepada umum bahawa parti itu tidak sesuai di Sarawak.

Mereka di Sarawak, katanya, ingin mengekalkan keharmonian kaum dan enggan menerima ketaasuban agama seperti yang berlaku di semenanjung.

"PAS tidak menjawab hujah saya, sebaliknya memilih retorik politik dengan menggelar saya anti-Islam.

"Ia adalah propaganda tipikal Umno dan kini turut menjadi sifat propaganda PAS terhadap DAP," katanya.

Lihat Komen
ADS