TPM: Kerajaan akan bentang sendiri pindaan Akta 355

   

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi hari ini mengesahkan kerajaan memutuskan akan membentangkan sendiri pindaan Akta 355 dalam sidang Parlimen kali ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

Beliau memberitahu, perkembangan itu memperlihatkan kerjasama kerajaan BN dengan 'rakan baharu' yang pernah menjadi musuh politik untuk sama-sama memelihara kesucian agama Islam dan kedaulatan bangsa Melayu tanpa menjejaskan kepentingan agama serta bangsa lain.

"Insya Allah dengan doa untuk kita menyatukan orang-orang Melayu. Biarlah kita kehilangan segelintir 'kawan' kita tapi kita akan dapat 'kawan baharu' yang kumpulannya lebih besar akan bersama-sama kita.

"'Kawan baharu' kita ini mungkin dulu musuh politik kita tapi mereka telah faham untuk sama-sama tangani masalah bersama (berkaitan agama Islam) dengan tidak mengenepikan agama lain," katanya yang dipetik portal Utusan Malaysia.

Beliau yang juga Pemangku Timbalan Presiden Umno menyatakan perkara itu ketika berucap menyempurnakan Majlis Perasmian Berkelompok Persidangan Umno Cawangan Peringkat Negeri Terengganu dan Penyampaian Hadiah Pertandingan Pusat Daerah Mengundi (PDM) Peringkat negeri di Kuala Terengganu hari ini.

Komen

PERINGATAN:
Malaysiakini tidak bertanggungjawab terhadap komentar yang diutarakan melalui laman sosial ini. Ia pandangan peribadi pemilik akaun dan tidak semestinya menggambarkan pendirian sidang redaksi kami. Segala risiko akibat komen yang disiarkan menjadi tanggungjawab pemilik akaun sendiri.

Malaysiakini
terkini untuk anda

Sign In