Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
PAS mahu lihat draf RUU355 k'jaan, anggap belum muktamad

PAS mahu melihat terlebih dahulu draf pindaan yang dicadangkan ke atas Akta Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) 1965, atau Akta 355 yang akan dibentangkan oleh kerajaan dalam sidang Parlimen kali ini.

“Kita tak anggap itu muktamad, kita nak lihat draf dia dulu. Kalau nak lain dari yang kita nak itu sudah tidak betul, kita tak mahu bertindih, tak mahu berlawan.

“Kita mahu kerjasama yang baik dalam perkara kepentingan orang Islam, mahkamah syariah dan tak menjejaskan orang bukan Islam. Itu pendekatan kita. Kita nak baca draf dia dulu,” kata Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Abdul Hadi berkata demikian dalam sidang media selepas merasmikan Konvensyen Profesional Malaysia di Cyberjaya.

Semalam Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengesahkan kerajaan memutuskan akan membentangkan sendiri pindaan Akta 355 dalam sidang Parlimen kali ini.

Katanya, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak komited untuk menterjemahkan hasrat tersebut tanpa mengganggu-gugat kepentingan agama serta kaum lain di negara ini.

Hari ini peguam terkemuka Datuk Ambiga Sreenevasan membangkitkan persoalan bahawa RUU355 hanya memberi tumpuan kepada meningkatkan hukuman tanpa menamakan secara khusus tentang kesalahan.

Manakala Ketua Pemuda PAS, Nik Abduh Nik Mat menyatakan kesalahan tidak perlu disebutkan memandangkan ia sudah sedia ada dalam bidang kuasa mahkamah syariah

”Kesalahan sudah ada, tidak perlu untuk disebut, kita hanya hendak pinda hukuman,” katanya.

Sementara itu Abdul hadi ketika ditanya mengenai harapannya dalam Muktamar PAS yang akan berlangsung pada hujung bulan ini mengingatkan supaya pimpinan akar umbi supaya tidak berpecah belah.

“Yang penting tunjuk model, sifat baik dalam muktamar, boleh berbeza pendapat tak berpecah sehingga kini kita boleh memelihara parti tak berpecah…

“Kita harap mutu meningkat berdasarkan peningkatan ahli, bukan sahaja jumlah tapi kematangan pemikiran yang berlatar belakang pendidikan,” katanya.

 

Lihat Komen
ADS