Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Orang ramai dinasihat jangan ceroboh kawasan istana
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 4:01 PM
Dikemaskini: 8:03 AM

Polis Johor hari ini menasihati orang ramai yang mempunyai niat dan agenda tertentu supaya tidak sewenang-wenangnya memasuki kawasan istana tanpa kebenaran untuk mengelakkan dikenakan tindakan.

Ketua Polis Johor, Datuk Seri Wan Ahmad Najmuddin Mohd berkata, kawasan istana adalah kawasan larangan yang tertakluk di bawah Akta Kawasan Larangan dan Tempat Larangan 1959.

"Mana-mana orang yang melakukan kesalahan atau melanggar akta tersebut seperti yang diperuntukan di bawah Seksyen 7 akta yang sama boleh dihukum penjara sehingga dua tahun atau denda RM1,000 atau kedua-duanya," katanya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata demikian ketika mengulas kejadian seorang lelaki berusia 28 tahun yang dituduh di Mahkamah Sesyen Johor Bahru pada Isnin lepas atas kesalahan menceroboh dan cuba membakar Istana Besar Johor Bahru.

Susulan kejadian itu, katanya, polis Johor sedang menjalankan siasatan lanjut dan terperinci untuk mengesan dalang yang mempergunakan orang-orang yang mempunyai masalah mental untuk melakukan pencerobohan dan akan membawa mereka ke muka pengadilan.

Difahamkan, dalam kejadian pada pukul 11.45 malam itu, Jumaat lepas, lelaki tersebut yang berasal dari Felda Palong Timur, Segamat bertindak menunggang motosikal sebelum memasuki kawasan istana.

Menurut sumber, lelaki tersebut kemudian berhenti di simpang tiga berhadapan Pos C (pos tetap kawasan Istana Besar) sebelum membaling bom petrol ke arah pintu istana.

- Bernama

Lihat Komen
ADS