Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Inflasi dijangka meningkat 3-4 peratus pada 2017
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 6:14 PM
Dikemaskini: 10:16 AM

Inflasi diunjur meningkat antara 3.0 dan 4.0 peratus pada tahun 2017, mencerminkan terutamanya kesan pindahan kenaikan harga minyak global ke atas harga runcit bahan api dalam negeri.

Inflasi negara kekal rendah pada 2016 dan tidak berubah pada tahap 2.1 peratus seperti 2015.

Menurut Bank Negara Malaysia (BNM) inflasi ini didorong terutamanya oleh faktor kos, dan dijangka tidak akan mengubah dengan ketara prospek inflasi jangka sederhana.

"Bagaimanapun, inflasi yang didorong oleh faktor kos ini dijangka tidak menyebabkan kesan limpahan yang besar kepada trend harga yang lebih meluas, memandangkan keadaan permintaan dalam negeri adalah stabil.

"Oleh itu, inflasi asas dijangka hanya meningkat dengan sederhana," menurut BNM dalam Laporan Tahunan 2016 yang dikeluarkan di ibunegara hari ini.

BNM berkata harga minyak dunia dijangka meningkat pada 2017 berikutan keputusan negara anggota Pertubuhan Negara-negara Pengeksport Petroleum (OPEC) dan juga beberapa negara pengeluar minyak yang lain, untuk mengurangkan pengeluaran minyak mentah mereka bagi mengurangkan lebihan bekalan minyak global.

"Harga minyak dunia yang lebih tinggi bersama-sama dengan susut nilai dalam kadar pertukaran ringgit, akan menyebabkan kenaikan dalam harga runcit bahan api dalam negeri.

"Selain faktor minyak, faktor kos global yang lain juga dijangka memberikan sedikit tekanan menaik kepada inflasi dalam negeri," kata BNM.

Selain itu, BNM turut menyatakan bahawa walaupun harga makanan dunia dijangka kekal rendah berikutan keadaan cuaca dan bekalan yang bertambah baik, prospek harga komoditi keseluruhan diunjurkan meningkat dengan sederhana pada 2017.

"Peningkatan ini disokong oleh harga keluaran pertanian dan produk berasaskan logam yang lebih tinggi," kata BNM.

Menurut BNM, kadar inflasi rakan perdagangan utama Malaysia juga dijangka meningkat sedikit.

"Bagaimanapun, kesan pindahan daripada faktor harga luaran ini kepada harga dalam negeri akan sedikit sebanyak dikurangkan kerana pengeluaran dan penggunaan dalam negeri yang mempunyai kandungan import yang agak kecil," kata BNM lagi.

- Bernama

Lihat Komen
ADS