Paling Popular
Terkini
mk-logo
Berita
Buaya sepanjang 10 kaki ditangkap di Kuala Juru
Diterbitkan:  Mar 23, 2017 8:21 PM
Dikemaskini: 12:25 PM

Seekor buaya sepanjang 10 kaki berjaya ditangkap di tebing sungai Kampung Sungai Semilang, Kuala Juru di Bukit Mertajam sebelum diserahkan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

Pegawai Perhubungan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Pulau Pinang Mohd Azman Hussin berkata pihaknya menerima panggilan memaklumkan kehadiran buaya di kawasan itu kira-kira 10.17 pagi dan jentera pertama tiba di lokasi kejadian lapan minit kemudian.

"Penduduk di kawasan itu gempar selepas mendapati ada seekor buaya dipercayai jenis air masin di atas tebing sungai di situ sebelum memaklumkan kepada pihak bomba.

"Jentera dari Balai Bomba dan Penyelamat Bandar Perda yang tiba di lokasi kejadian mendapati buaya itu masih berada di kawasan berkenaan dan komander operasi membuat 'size up' serta mengarahkan anggota membuat tangkapan," katanya hari ini.

Beliau berkata pihaknya dengan bantuan polis, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia, Perhilitan dan Pasukan Bomba Sukarela Juru menggunakan penjerut serta tali berjaya menangkap buaya berkenaan pada 1 tengah hari.

Dipercayai buaya itu datang dari sungai berhampiran dan naik ke tebing di situ untuk mencari makanan, katanya.

Seorang penduduk Mohd Hasani Mohd Dain, 34, berkata penduduk kampung sering terserempak dengan buaya sejak 10 tahun lepas dan sudah beberapa kali cuba menangkapnya, namun reptilia terbabit melarikan diri sebaik menyedari kehadiran orang ramai.

Katanya di kawasan berkenaan terdapat antara empat dan lima ekor buaya spesies sama.

"Buaya itu tidak mengganggu orang kampung dan hanya makan monyet serta hidupan liar di kawasan paya bakau di sini, kadangkala timbul kebimbangan juga akan berlaku kejadian tidak diingini," katanya.

Ular menyelinap masuk wad

Petugas Jabatan Kecemasan dan Trauma Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di Ipoh cemas apabila ternampak seekor ular berwarna hijau menyelinap masuk ke dalam sebuah bilik wad berhampiran kaunter pendaftaran di jabatan berkenaan.

Ketua Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Ipoh Mohd Mahir Mat Saad berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan daripada petugas hospital itu kira-kira 5.11 petang sebelum satu pasukan segera dihantar ke hospital berkenaan.

"Bagaimanapun, sebaik bomba tiba ular itu telah hilang dan pihak bomba tidak berjaya menjumpai ular tersebut selepas usaha mencarinya gagal," katanya ketika dihubungi Bernama.

Mohd Mahir berkata pihaknya telah melakukan pemantauan di kawasan sekitar jabatan berkenaan bagi memastikan tiada lagi ular itu di lokasi kejadian.

Beliau berkata operasi tamat sepenuhnya kira-kira jam 5.52 petang.

- Bernama.

Lihat Komen
ADS